suria

Memo Sulit Pentadbiran Obama Arah Bunuh Suspek Qaeda Kini Jadi Perdebatan Hangat

WASHINGTON DC: Satu memo sulit yang dikeluarkan oleh pentadbiran Presiden Barack Obama yang mengarahkan pembunuhan seorang rakyat negara itu yang disyaki anggota Al-Qaeda telah mencetuskan isu baru dalam media massa.

Arahan yang mengizinkan pembunuhan mana-mana warga Amerika tanpa perbicaraan adalah tidak sah menurut perlembagaan dan undang-undang persekutuan negara itu.

Akhbar berpengaruh, The New York Times telah memetik satu sumber sebagai berkata, arahan tersebut terdapat dalam satu dokumen rahsia mengarahkan pembunuhan seorang warga Amerika bernama Anwar al-Awlaqi menerusi satu misi sulit.

Memo rahsia lebih 50 muka surat itu dikatakan dikeluarkan pada Jun 2010 dan menyebut bahawa tindakan tersebut hanya akan dianggap sah sekiranya segala usaha untuk menangkap suspek hidup-hidup gagal dilakukan.

Awlaqi telah mati dibunuh dalam satu serangan oleh pesawat sulit tidak berpemandu di Yaman hujung September lalu dalam satu operasi yang menurut Presiden Obama sebagai 'pukulan maut' ke atas rangkaian Al-Qaeda.

Memo itu antara lain mendakwa Awlaqi terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Amerika Syarikat dan oleh itu dia menjadi ancaman besar kepada negara berkenaan.

White House pada masa lalu enggan melayani sebarang pertanyaan berhubung isu tersebut.

Agensi perisikan Amerika mengesyaki Awlaqi mempunyai hubungan dan kaitan dengan tindakan seorang pegawai tentera berpangkat major yang menembak mati 13 orang awam di Fort Hood, Texas dan juga dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang pelajar Nigeria yang dituduh cuba meletupkan sebuah pesawat awam pada 25 Disember 2009.

Awlaqi juga disyaki memimpin satu operasi Al-Qaeda di Yaman yang merancang untuk membunuh rakyat Amerika.

Memo berkenaan dikatakan didokumenkan dengan penglibatan beberapa jabatan utama kerajaan Amerika seperti Jabatan Pertahanan, Jabatan Negara (Luar Negara), Majlis Keselamatan Negara dan juga pentadbiran White House.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir Di Thailand Semakin Buruk

Artikel Lain