suria

BBC Umum Akan Pecat Sehingga 2,000 Pekerja Dalam Tempoh 5 Tahun

LONDON: Gergasi media Britain - BBC mengesahkan pada Khamis bahawa mereka merancang untuk menghentikan 2,000 kakitangan di semua peringkat ekoran tindakan kerajaan memotong bajet dan mengenakan langkah berjimat cermat.

Di bawah rancangan itu, BBC yang untuk sekian lamanya disifatkan sebagai badan penyiaran awam terbesar dunia merancang untuk menjimatkan sehingga 670 juta pound sterling dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pemberhentian kerja kakitangannya.

Ketua Pengarah BBC, Mark Thompson telah pun memaklumkan tentang perancangan tersebut kepada semua kakitangan perbadanan itu.

Dalam reaksi segera, kesatuan sekerja BBC menegaskan bahawa jika langkah ini benar-benar berlaku mereka tidak akan teragak-agak untuk mengadakan mogok.

Menurut Thompson, BBC terpaksa mengambil langkah memotong bajet sehingga 20% berikutan tindakan kerajaan membekukan lesen televisyen yang sebelum ini ditanggung oleh pengguna.

"Oleh itu, kami perlu merangka sebuah organisasi yang lebih kecil, kos efektif, menggaji kurang pekerja, mengurangkan aset dan benar-benar fokus kepada apa yang dikehendaki oleh pengguna," ujarnya.

BBC buat masa ini menggaji 22,899 pekerja di seluruh dunia.

Badan penyiaran rasmi Britain itu juga bercadang untuk menempatkan semula sekurang-kurangnya 1,000 staf di seluruh negara.

Namun begitu, BBC memberi jaminan bahawa bajet untuk Radio 4, stesen utamanya yang menyiarkan laporan isu-isu semasa tidak akan terjejas.

Begitu juga saluran yang menyiarkan siri popular seperti "Teletubbies" yang ditayangkan di seluruh dunia tidak akan terjejas sebaliknya akan dipertahankan.

Namun begitu lain-lain saluran seperti Sukan akan menyaksikan potongan bajet yang besar iaitu sehingga 15%.

Antara langkah ke hadapan yang dilihat dapat mempertahankan BBC ialah berkongsi atau bekerjasama dengan stesen-stesen lain sepertimana yang dapat disaksikan menerusi siaran langsung Formula One yang dirintis bersama stesen BSkyB.

BBC sebelum ini menerima sehingga 3.5 bilion Pound Sterling setahun menerusi kutipan lesen televisyen.

Bagaimanapun tahun lalu, kerajaan mengambil langkah membekukan lesen tersebut sehingga ke tahun 2016-17.

Pendapat BBC juga akan turut terjejas apabila tanggungjawab untuk menaja perkhidmatan luar negara BBC yang sebelum ini ditanggung oleh Kementerian Luar Negara akan diserahkan kepada BBC bermula tahun 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain