suria

Sarah Palin Buat Keputusan Mengejut Umum Tak Tanding Kerusi Presiden Tahun Depan

WASHINGTON DC: Bekas calon Naib Presiden Amerika Syarikat pada pemilihan 2008 yang juga bekas Gabenor Alaska, Sarah Palin telah mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan bertanding merebut jawatan presiden mahupun naib presiden tahun hadapan.

Palin berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau berfikir secara mendalam dan akhirnya membuat keputusan untuk menumpukan lebih banyak masa serta perhatian kepada tuhan, keluarga dan negara.

Pengumuman rasmi ahli politik wanita berusia 47 tahun itu yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai calon presiden yang berpotensi telah menamatkan sebarang spekulasi akan langkah seterusnya dalam politik.

Kini bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney dan Gabenor Texas, Rick Perry mengetuai persaingan siapa yang layak menjadi calon Parti Republican untuk menentang Presiden Barack Obama pada pilihan raya presiden 2012.

"Selepas banyak berfikir saya ingin menumpukan perhatian kepada keluarga saya terlebih dahulu," ujar Palin.

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna beliau tidak akan memberi pandangan, idea dan tenaga untuk menyusun strategi parti mereka menentang kepimpinan Obama pada pilihan raya presiden nanti.

Palin mencuri perhatian dunia apabila calon presiden dari Parti Republican John McCain memilihnya sebagai calon naib presiden pada pemilihan 2008.

Bagaimanapun, selepas mereka tewas, Palin telah kembali ke Alaska dan selepas itu melepaskan jawatan gabenor yang disandangnya.

(Nota: Dalam sistem pentadbiran dan politik Amerika, gabenor adalah ketua eksekutif negeri sama seperti seorang menteri besar atau ketua menteri di Malaysia.)

Artikel Sebelum

Artikel Lain