suria

Putin Berusaha Bentuk Kesatuan Eurasia

MOSCOW: Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berkata pihaknya merancang untuk membentuk Kesatuan Eurasia yang akan dianggotai bekas negara-negara Kesatuan Soviet.

Menurutnya, kesatuan baru itu akan diwujudkan berasaskan kepada Kesatuan Kastam yang sedia ada di antara Rusia, Belarus dan Kazakhstan.

''Kita tidak mahu terhenti di situ sahaja dan mahukan wujudnya tahap integrasi yang tinggi dalam Kesatuan Eurasia,'' katanya seperti dipetik dalam artikel yang ditulisnya di akhbar Izvestia, Selasa.

Artikel tersebut dilihat sebagai gambaran awal inisiatif luarnya di sebalik persediaan beliau kembali ke Kremlin sebagai Presiden Rusia.

Inisiatif berkenaan muncul ketika Rusia menghampiri rundingan akhir untuk menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah berlangsung selama 18 tahun.

Putin yang pernah melabelkan kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) pada Disember 1991 sebagai malapetaka berkata, usaha terbaru untuk membentuk Kesatuan Eurasia tidak akan menyemai Kesatuan Soviet.

Menurutnya, kesatuan baru itu juga dilihat sebagai sebuah badan 'supranasional' yang mampu menyelaras ekonomi serta polisi mata wang di kalangan ahlinya.

''Saya melihat langkah keluar daripada krisis global adalah menerusi integrasi antara blok seperti Kesatuan Eropah (EU), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). -REUTERS

Artikel Sebelum

Tembakan Di Kuari: Dua Maut

Artikel Berikut

Artikel Lain