suria

Indonesia Tinjau Beli Kapal Selam Dari Negara Asia

JAKARTA: Indonesia sedang meninjau kemungkinan pembelian kapal selam dan kapal perang jenis frigat buatan negara Asia bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

Ketua Staf Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut, Laksamana Suparno berkata pihaknya tidak memilih kapal selam buatan Eropah Barat sesuai dengan kemampuan kewangannya.

"Kemungkinan besar kita membeli dari negara Asia. Pada masa ini sudah ditinjau kapal selam buatan Korea Selatan," katanya seperti dipetik portal berita kompas.com Selasa.

Suparno tidak menolak kemungkinan Indonesia membeli aset pertahanan berkenaan dari negara Asia yang lain selain Korea Selatan.

Pada masa ini Korea Selatan sedang memperbaiki kapal selam milik Indonesia, KRI Nanggala yang dijangka dapat beroperasi semula awal tahun hadapan.

Suparno berkata pihaknya juga berharap dapat membeli tiga buah kapal perang jenis frigat, yang dirancang pembangunannya dalam bentuk kerjasama dengan pihak asing dan tempatan dengan sebahagian daripada modulnya dibuat dalam negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain