suria

S'pura Timbang Jadi Kawasan Stesen Tanjung Pagar Sebagai Tapak Venue Sementara

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura berkata mereka sedang menimbang untuk membuka sebahagian daripada bekas Stesten Kereta Api Tanjung Pagar untuk dijadikan sebagai venue acara.

Ini berikutan beberapa cadangan bagaimana ruang di stesen itu dapat digunakan dalam tempoh sementara sebelum sebarang pelan pembangunan diputuskan, menurut laporan stesen televisyen tempatan, Channel News Asia, Isnin.

Sejak tanah bekas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diserahkan kepada Singapura pada 1 Julai lalu, kira-kira 40 peratus landasan kereta api, yang dibuka pada 1932, telah ditanggalkan.

Terdapat beberapa siri rundingan awam telah diadakan untuk mencari kaedah bagaimana kawasan itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin. Stesen televisyen itu memetik pihak berkuasa sebagai berkata deraf pelan induk pembangunan kawasan itu dijangka disiapkan menjelang 2013.

Dalam tempoh sementara itu, mereka berkata tiada rancangan untuk pembangunan infrastruktur dalam kawasan tapak stesen berkenaan tetapi menyatakan adalah munasabah untuk memanfaatkan ruang yang sedia ada.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan untuk menimbang penggunaan sesuai kawasan itu dalam tempoh sementara.

Seorang jurucakap URA berkata penggunaan sementara tapak itu membabitkan bekas kuarters Spooner Road dan dua stesen kereta api Bukit Timah dan Tanjung Pagar. -BERNAMA

Artikel Lain