suria

Pesawat Membawa 18 Penumpang Hilang Di Indonesia

JAKARTA: Sebuah pesawat kecil yang membawa 18 penumpang dilapotkan hilang di kepulauan Sumatera pada Khamis, kata jurucakap menteri pengangkutannya.

Bambang Ervan berkata, pesawat Cassa 212 yang membawa 15 penumpang dan tiga krew itu dari bandar raya Medan di utara Sumatera ke wilayah Aceh apabila ia dikatakan terputus hubungan komunikasi dengan pengawal trafik udara.

“Ia berlepas pada pukul 7.18 pagi (0018GMT) dan sepatutnya mendarat pada pukul 8 pagi.

“Kita masih belum tahu jika terdapat orang asing di dalam pesawat itu,” kata jurucakap itu kepada AFP, sambil menambah misi mencari pesawat itu sedang giat dilakukan oleh pasukan pencari dan penyelamat.

Ahad lalu, sebuah helikopter yang disewa oleh syarikat pengeluar emas terbesar dunia Newmont Mining terhempas di kawasan tengah Indonesia dan mengorbankan dua penumpang.

Pada awal bulan ini, juruterbang Australia dan Slovakia terbunuh apabila pesawat kecil mereka iaitu Cessna Grand Caravan yang membawa bekalan minyak dan makanan ke wilayah Papua terhempas.

Sebuah lagi pesawat kecil yang turut membawa muatan bekalan ke perkampungan terpencil di Papua terhempas pada minggu lalu, mengorbankan seorang juruterbang Amerika Syarikat dan dua penumpang.

Keadaan gugusan kepulauan di Indonesia yang berselerak menyebabkan ia bergantung sepenuhnya pada sistem pengangkutan udara dan mempunyai rekod penerbangan yang buruk. - AFP

Artikel Sebelum

Taufan Nesat Membadai China Pula

Artikel Berikut

Artikel Lain