suria

Arab Saudi Komited Bantu Jemaah Haji Malaysia - Duta

MADINAH: Kerajaan Arab Saudi sentiasa komited dalam membantu urusan jemaah haji dari Malaysia kerana senang dengan ketertiban mereka, selain memandang tinggi terhadap Malaysia yang dianggap sebuah negara Islam paling maju dan berjaya.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Prof Syed Omar Syed Al-Saggaf berkata Arab Saudi sentiasa meminta negara lain mencontohi Malaysia dalam soal ibadah haji, sama ada daripada segi disiplin jemaah mahupun pengurusan jemaah.

Katanya Arab Saudi melihat pengurusan jemaah haji Malaysia paling teratur serta jemaah pula amat tertib.

"Kerajaan Arab Saudi melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang termaju teknologinya, dan keamanan yang dinikmati Malaysia amat dihormatinya," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia juga menyanjung usaha yang dijalankan Arab Saudi dalam memudahkan urusan ziarah dan haji di Madinah dan Mekah bagi jutaan umat Islam yang tiba ke tanah suci itu setiap tahun.

Prof Syed Omar berkata antara yang dilakukan bagi menambah keselesaan jemaah ialah pembesaran Masjidil Haram di Mekah, penambahbaikan pengangkutan jemaah, selain memperkenalkan peraturan baru bagi menghadkan jumlah rakyat tempatan di luar Mekah sendiri daripada menunaikan haji.

Katanya pihak pengurusan jemaah Malaysia turut mengambil langkah serupa sejak beberapa tahun lepas apabila hanya membenarkan mereka yang pernah mengerjakan haji kembali menunaikan ibadat itu selepas lima tahun.

Selain itu kata beliau, kerajaan Arab Saudi juga mensasarkan untuk menyediakan kemudahan penginapan dan pengangkutan yang selesa buat kira-kira empat juta jemaah dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, berbanding kira-kira tiga juta musim ini.

Sementara itu merujuk kepada kelancaran ibadah haji buat jemaah haji Malaysia, Prof Syed Omar berkata tahun ini Tabung Haji memperkenalkan konsep 'rakan ibadah' bagi membantu jemaah menunaikan ibadah itu dengan sempurna.

Beliau berkata di bawah konsep itu, beberapa jemaah haji yang dikenal pasti akan dipilih menjalani latihan bagi menjadi pembimbing kepada sesama jemaah.

Beliau turut meluahkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pejabat Konsul Jeneral dan Konsul Haji di Jeddah, serta Tabung Haji yang bertungkus-lumus sejak enam bulan lepas bagi melicinkan perjalanan haji tahun ini.

Prof Syed Omar sebelum itu menyambut ketibaan kumpulan pertama bakal haji Malaysia di hotel penginapan mereka di sini. Beliau kemudian melawat kaunter perkhidmatan yang disediakan Tabung Haji seperti klinik, tempat pengeluaran simpanan, ruang makan jemaah, dan lain-lain.

Turut serta Konsul Jeneral Haji di Jeddah Muhammad Khalid Abassi, Konsul Haji Malaysia di Jeddah Mohmmad Norber Kassim dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Nesat Membadai China Pula

Artikel Berikut

Artikel Lain