suria

Penjenayah Bersenjata Bunuh Lima Ahli Keluarga Pejuang Sunni di Iraq

BAGHDAD: Sekumpulan penjenayah bersenjata api yang memakai pakaian tentera dilaporkan telah memecah masuk rumah seorang tentera pro-kerajaan Sunni, awal Rabu dan membunuh lima ahli keluarganya termasuk tiga kanak-kanak, kata kenyataan rasmi Iraq.

Polis berkata, penjenayah itu menembak wanita-wanita dan kanak-kanak ketika mereka sedang tidur di rumah yang terletak di Abu Ghraib, sebuah kawasan yang didominasi oleh tentera Sunni yang pernah menjadi kubu perlindungan al-Qaida di sini.

Tujuh lagi ahli keluarga tentera itu pula didapati cedera dalam serangan tersebut.

Polis berkata, tentera bernama Hameed al-Zobaie tiada di rumahnya ketika kejadian.

Pegawai perubatan dari hospital berhampiran mengesahkan kematian tersebut.

Polis berkata, penjenayah bersenjata itu dipercayai mensasarkan serangan itu kepada al-Zobaie yang merupakan ahli kepada Iraqi Sahwa atau Awakening Councils. Kumpulan tersebut dikatakan bergabung dengan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi al-Qaida.

Sejak itu, kumpulan tersebut menjadi sasaran kepada pemberontak Sunni.

Pemberontak itu semakin berleluasa di Iraq baru-baru ini menjelang pengunduran tentera AS dari negara itu pada hujung tahun ini.

Polis pada Rabu berkata, dalam serangan terdahulu, sebuah kereta meletup berdekatan sebuah restoran popular di kawasan kejiranan Shiite, barat daya Baghdad, malam Selasa.

Insiden itu menyebabkan tiga orang terbunuh dan 10 lagi tercedera. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Palestin Masih Perlukan 9 Undi

Artikel Lain