suria

Malaysia Giat Berkempen Untuk Anggotai IBE Unesco

PARIS: Malaysia, yang mencatatkan pembangunan cemerlang dalam bidang pendidikan, kini giat berkempen untuk menjadi anggota Biro Pendidikan Antara Kerajaan (IBE) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia mahu memainkan peranan lebih aktif dalam biro itu terutama dalam membantu negara anggota badan itu yang masih ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Malaysia mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk membantu negara anggota berkenaan, katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja dua hari ke Paris, Rabu.

Muhyiddin berada di sini bagi menghadiri mesyuarat lembaga eksekutif Unesco. Penggal Malaysia sebagai anggota lembaga itu tamat Oktober ini, dan pemilihan anggota IBE akan diadakan di perhimpunan agung badan itu, pada 25 Okt hingga 10 Nov.

Timbalan Perdana Menteri berkata setakat ini penawaran Malaysia untuk menjadi anggota IBE mendapat maklum balas positif.

Semasa berucap pada mesyuarat lembaga eksekutif badan itu pada Rabu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berharap Unesco melanjutkan tempoh pelaksanaan dasar Pendidikan Untuk Semua (EFA) berikutan terdapat negara anggota yang tidak dapat memenuhi tarikh pematuhan EFA pada 2015.

Katanya keadaan itu disebabkan kekangan dan masalah yang dihadapi negara berkenaan seperti kekurangan dana, bencana alam, kebuluran dan peperangan.

Menjawab soalan wartawan apakah peranan negara anggota dalam membantu negara berkenaan, beliau menjelaskan Unesco telah menghulurkan pelbagai bantuan daripada segi kerjasama latihan teknikal dan vokasional serta dana.

Beliau turut berkongsi kejayaan Malaysia dalam memberikan pendidikan berkualiti menerusi program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Malaysia sendiri meluluskan bantuan pendidikan US$5 juta kepada Unesco, katanya.

Muhyiddin menegaskan Malaysia tidak menghadapi masalah melaksanakan EFA kerana adalah menjadi objektif negara untuk memberikan pendidikan berkualiti kepada semua secara percuma.

Malah, Malaysia sudah hampir memenuhi matlamat EFA, iaitu jauh lebih awal daripada 2015, katanya.

Mengenai pencapaian Malaysia sebagai anggota lembaga eksekutif Unesco pula, beliau berkata negara telah dipilih menjadi anggota beberapa jawatan kuasa serta berjaya menyenaraikan Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera; Batu Bersurat Terengganu dalam senarai Daftar Memori Dunia Antarabangsa dan Teater Mak Yong sebagai Karya Agung Warisan Kemanusiaan.

Pencapaian lain ialah menyenaraikan Melaka dan George Town dalam senarai Warisan Dunia, katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja dilantik menjadi anggota lembaga eksekutif pada Oktober 2007, Malaysia dipilih sebagai setiausaha Kumpulan Unesco-Komanwel dan kemudiannya dalam 10 jawatankuasa lain termasuk, yang terbaru, sebagai Naib Pengerusi Kumpulan Perwakilan Unesco bagi tempoh 2010 hingga 2011.

Muhyiddin berkata walaupun penggal Malaysia sebagai anggota lembaga eksekutif tamat pada Oktober, negara akan terus aktif memberi pandangan kepada badan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Palestin Masih Perlukan 9 Undi

Artikel Lain