suria

Palestin Masih Perlukan 9 Undi

NEW YORK: Permohonan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara mula dibahaskan oleh Majlis Keselamatan PBB hari ini, tetapi dijangka menghadapi cabaran getir bagi memperoleh sembilan undi yang masih diperlukan untuk kelulusan.

Tanpa undi minimum tersebut dalam badan yang terdiri daripada 15 anggota itu, Amerika Syarikat (AS) akan terlepas daripada keperluan untuk menggunakan kuasa vetonya bagi menyekat permohonan Palestin.

Ketika perbincangan formal bermula, diplomat berkata, Palestin hanya dapat memastikan enam undi sokongan dalam Majlis Keselamatan iaitu daripada China, Rusia, Brazil, Lebanon, India dan Afrika Selatan.

Tiga negara anggota bukan tetap, Gabon, Nigeria dan Bosnia belum mendedahkan sama ada mereka akan mengundi untuk menyokong keanggotaan Palestin.

"Jika pengundian diadakan hari ini, Palestin tidak akan mendapat cukup undi yang diperlukan dan AS tidak perlu menggunakan kuasa vetonya," kata seorang diplomat Barat.

Lazimnya Majlis Keselamatan tidak mengambil masa melebihi 35 hari untuk mengkaji dan menilai permohonan bagi menganggotai PBB.

Pada Julai lalu, permohonan Sudan Selatan, negara anggota PBB ke-193 dan terbaru menyertai badan dunia itu, diluluskan dalam masa beberapa hari sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) untuk pengesahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain