suria

Palestin Tetap Akan Kemukakan Permohonan Jadi Anggota PBB

NEW YORK: Palestin akan tetap meneruskan hasrat mereka untuk mengemukakan permohonan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) walaupun terdapat khabar angin yang menyatakan negara itu tidak akan memajukan permohonan menyertai badan dunia itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata rakan sejawatannya dari Palestin Dr Riyad Al-Malik menafikan mengenai khabar angin itu sebaliknya menegaskan bahawa Palestin akan meneruskan hasrat mereka itu.

"Ada ura-ura dan khabar angin yang menyatakan Palestin berkemungkinan tidak akan memajukan permohonan untuk menyertai badan dunia itu sebaliknya akan menerima nasihat Amerika Syarikat untuk terus berunding dengan Israel.

"Dr Riyad menafikan mengenai khabar angin itu sebaliknya menegaskan bahawa Presiden Palestin Mahmoud Abbas akan tetap mengemukakan permohonan kepada badan dunia itu, sebaik saja beliau memberi ucapannya semasa perhimpunan agung PBB di sini, Jumaat," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan cek sumbangan US$2 juta kepada Pihak Berkuasa Kerajaan Palestin yang diwakili oleh Dr Riyad, di sini Khamis.

Anifah berada di New York bagi mewakili negara menghadiri sesi ke-66 Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung selama 18 hari sejak 13 Sept lepas.

Anifah dijadual berucap pada perhimpunan badan dunia itu, Selasa ini.

Terdahulu itu, beliau menghadiri mesyuarat jawatankuasa mengenai Palestin yang dihadiri oleh enam negara termasuk Malaysia. Lima negara lain ialah Pakistan, Palestin, Senegal, Guinea dan Mesir sebagai negara pemerhati.

Katanya pada mesyuarat itu, keenam-enam negara yang menghadirinya telah diberi taklimat oleh Dr Riyad mengenai kedudukan terkini Palestin selepas Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Anifah berkata Dr Riyad turut menghargai kesungguhan Malaysia yang sentiasa menyokong kuat segala usaha negara berkenaan memperjuangkan hak rakyat Palestin sejak sekian lama.

"Dr Riyad menyatakan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara sahabat Palestin yang sentiasa menyokong negara itu selain turut menyampaikan penghargaan negaranya kepada Malaysia serta rakyatnya yang sentiasa membantu mereka," katanya.

Anifah yang mempunyai jadual ketat turut akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari China dan Hungary, Sabtu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain