suria

Malaysia Tetap Konsisten Sokong Kedudukan Palestin

NEW YORK: Malaysia tetap dengan pendirian konsistennya menyokong keahlian penuh Palestin sebagai negara ke-194 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat semasa Perhimpunan Agung ke-66 badan dunia itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Bernama di sini, Khamis bahawa pendirian Malaysia itu telah disuarakan secara konsisten melalui forum-forum antarabangsa yang disertai dan juga yang dianjurkan oleh Malaysia.

"Sudah sampai masanya bagi Palestin menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat di dunia ini dan pendirian kita tidak pernah berubah. Sekiranya Palestin mengemukakan permohonan mereka pada perhimpunan agung PBB, Malaysia akan menyokong sepenuhnya," katanya.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas dijadual berucap dan mengemukakan permohonan Palestin untuk menyertai badan dunia itu Jumaat ini.

Selain Malaysia, negara lain yang telahpun menyatakan pendirian mereka semasa berucap pada persidangan badan dunia itu hari ini ialah Brazil, Lubnan, Jordan, Qatar dan Argentina.

Palestin perlu mendapat sembilan daripada 15 undi dari negara anggota Majlis Keselamatan PBB untuk membolehkannya menyertai badan dunia itu.

Lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan itu ialah Amerika Syarikat, Britain, Perancis, China dan Rusia.

Sepuluh negara lagi yang penyertaan mereka adalah berdasarkan pemilihan untuk tempoh dua tahun ialah Brazil, Bosnia dan Herzegovina, Colombia, Gabon, Jerman, India, Portugal, Lubnan, Nigeria dan Afrika Selatan.

"Apa yang sedang diperkatakan di PBB kini ialah berkemungkinan besar Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa vetonya (menolak permohonan), jika sekiranya Palestin mendapat sembilan undi dari negara anggota Majlis Keselamatan PBB," kata Anifah.

Beliau berkata sekiranya Palestin tidak mendapat sembilan undi maka tidak ada keperluan untuk Amerika Syarikat mengemukakan kuasa vetonya kerana ia tidak melepasi kehendak dan peraturan majlis itu.

Katanya sekiranya Palestin mendapat sembilan undi serta sokongan dua pertiga daripada jumlah negara anggota PBB iaitu 128 negara, dan tanpa sebarang kuasa veto, maka negara itu boleh mengemukakan permohonanan pada Perhimpunan Agung badan dunia itu.

"Jika ada penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat, dan turut mendapat sokongan daripada 128 negara maka permohonannya masih perlu dikemukakan pada mesyuarat agung dan sekaligus membolehkan negara itu menjadi negara pemerhati yang sekaligus membolehkan Palestin mempunyai hak untuk mengemukakan masalah-masalahnya kepada badan-badan seperti ICC dan ICJ, walaupun mereka bukan anggota penuh PBB," kata Anifah.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Thailand Surapong Tovichakchaikul dan Perdana Menteri Kerajaan Sementara Persekutuan Somalia Dr Abdiweli Mohamed Ali serta menghadiri mesyuarat Kumpulan Hubungan OIC mengenai Bosnia dan Herzegovina.

Dalam pertemuannya dengan Surapong, Menteri Luar Thailand itu telah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga rakyat Malaysia yang terbunuh dalam letupan bom di negara itu baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Lain