suria

Mangsa Serangan Asid Dapat Melihat Semula

SINGAPURA: Seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang menjadi mangsa serangan asid, memperoleh rahmat apabila beliau dapat melihat semula selepas menjalani rawatan mata revolusioner di Eye & Cornea Transplant Centre di sini.

Ketika ditemui di sini, Isnin, wanita itu yang enggan mendedahkan nama penuhnya atas sebab keselamatan dan hanya ingin dikenali sebagai 'Madam Ho', berkata kedua-dua belah matanya rosak akibat serangan asid di Malaysia.

"Kedua-dua mata saya terjejas akibat insiden itu dan paling rosak teruk ialah mata kiri saya.

"Saya anggapkan diri saya sebagai buta sepenuhnya. Saya hanya dapat melihat sedikit cahaya," katanya.

Beliau pada mulanya ditawarkan pembedahan pemindahan kornea normal tetapi apabila mendapat tahu bahawa penglihatannya akan menjadi kabur dalam tempoh setahun, beliau membuat keputusan untuk tidak melakukannya.

Beliau menjalani pembedahan Boston keratoprosthesis (K-Pro) di pusat rawatan itu empat bulan lalu.

Sambil menganggapkan dirinya sebagai bertuah, 'Madam Ho' berkata penglihatannya bertambah baik dan hanya mengadu sedikit kegatalan dalam matanya.

Pembedahan itu membabitkan kos kira-kira S$35,000 (RM86,600). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain