suria

Malaysia Yakin Dapat Tempat Dalam Jawatankuasa Warisan Dunia

LONDON: Malaysia melahirkan keyakinan mendapat satu kerusi dalam Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) selepas satu perjumpaan dengan anggotanya di Brussels, ibu negara Belgium, Isnin.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang mengetuai delegasi Malaysia berkata, anggota jawatankuasa yang akan tamat tempoh perkhidmatan kini memahami kenapa Malaysia perlu diberi laluan dalam usaha untuk menyertai jawatankuasa itu.

"Kita dianugerahkan dengan kekayaan semulajadi dan kebudayaan yang unik. Dengan menyertai jawatankuasa itu akan membolehkan Malaysia membantu membangunkan sistem penilaian seimbang bagi pengiktirafan tapak warisan," katanya kepada Bernama, di sini.

"Terdapat banyak tapak di Eropah yang telah diiktiraf. Kita juga mahu melihat lebih banyak tapak sedemikian di Asia dikenal pasti dan diberikan pengiktirafan," katanya. Malaysia merupakan satu-satunya calon dari rantau Asia Pasifik dan Asean.

Rais berkata, Malaysia sedang mempromosikan kepada WHC, yang berada di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Lembah Bujang di Kedah dan begitu juga Lembah Lenggong di Perak sebagai tapak awal tamadun di Malaysia dan Asia.

Keputusannya akan diumumkan WHC pada November.

Hasrat Malaysia untuk bersaing bagi mendapatkan satu kerusi WHC dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu perjumpaan yang dihoskan beliau di Paris, Mei lepas sempena satu mesyuarat lembaga eksekutif Unesco. Pada 2008, Unesco mengiktiraf Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia dalam kategori bandar raya.

Sebelum itu, pada tahun 2000, ia mengisytiharkan Taman Negara Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Mulu di Sarawak sebagai Tapak Warisan Dunia dalam kategori tapak semulajadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain