suria

Indonesia Akan Beri Sokongan Penuh Terhadap Permohonan Palestin - Marty

JAKARTA: Indonesia akan memberi sokongan padu semasa Palestin mengemukakan permohonan keahlian penuh sebagai negara ke-194 dalam badan dunia itu pada Perhimpunan Agung PBB ke-66, kata Menteri Luarnya Marty Natalegawa.

"Isu kemerdekaan Palestin akan menjana banyak perhatian pada Perhimpunan Agung PBB tahun ini. Indonesia akan berada di barisan depan bagi memperjuangkan kemerdekaan Palestin dan keanggotaan penuh negara itu," katanya seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris, 'The Jakarta Post', pada Isnin.

Ketika ini, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mewakili rakyat Palestin dalam PBB dengan status sebagai pemerhati.

Marty berkata Indonesia mengiktiraf kemerdekaan Palestin beberapa jam selepas negara itu diisytiharkan sebagai sebuah kerajaan dalam buangan oleh Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers, Algeria, pada 15 November, 1988.

Ketika Palestin mendapat sokongan 120 daripada 193 anggota PBB, penyokong wilayah itu terus mengenakan tekanan global ke atas permohonanan itu selepas Amerika Syarikat mengancam menggunakan kuasa veto bagi menggagalkan permohonan itu. -BERNAMA

Artikel Lain