CHENNAI: Seorang suspek yang dikehendaki berhubung pembunuhan sebuah keluarga rakyat Malaysia di India Selatan tahun lepas ditangkap beberapa hari lepas tetapi suspek utama dipercayai masih bersembunyi di Malaysia.Hasil maklumat, pegawai Imigresen menangkap salah seorang suspek utama berumur 23 tahun, di lapangan terbang Tiruchirapalli, Khamis lepas sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Bagaimanapun, polis percaya suspek utama masih berada di Malaysia, di mana dia memiliki sebuah kedai menjual kambing."Suspek itu ditahan dan direman. Kami cuba untuk menyerah balik suspek utama. Kami ada maklumat bahawa dia masih di Malaysia."Jabatan kami telah menghubungi Interpol, Jun lepas untuk diekstradisi," kata Insp Chandrasekaran dari Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan Jenayah Ramanathapuram kepada Bernama, Ahad.Kumpulan itu bertanggungjawab atas penculikan dan pembunuhan Adhila Banu, 24, anak lelakinya Mohammad Aswan, 7 dan anak perempuannya Ajira Banu, 5, di daerah Ramananthapuram pada November 2010.Kesemua mangsa sedang bercuti di kampung asal mereka.Tiga hari selepas kesemua mangsa hilang, polis menemui mayat mereka yang reput, dibungkus dalam dhoti putih dan dibuang di sebuah terusan di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu, kira-kira 150 km dari rumah mereka.Laporan forensik mendedahkan bahawa kesemua mangsa dijerut dengan sejenis selendang "dupatta' dan ditekap dengan bantal.Selepas siasatan rapi, polis mengumpul bukti-bukti dan mengaitkan pembunuhan kejam itu dengan pertelingkahan kumpulan tempatan, yang juga mengandungi elemen dalam plot sebuah filem Bollywood dari hubungan sulit, persengketaan keluarga kepada konflik kasta.