suria

Serangan Bom: Polis Syak Angkara Puak Pemisah

NARATHIWAT: Polis Thailand mendakwa serangan bom di Golok disyaki dilakukan oleh puak pemisah yang sengaja menyasarkan kepada pelancong, serangan terbesar sejak beberapa bulan lalu di kawasan selatan yang majoritinya diduduki oleh orang Islam.

“Pemberontak sengaja meningkatkan kekejaman ke peringkat antarabangsa dengan menyasarkan pelancong asing,” kata komander Polis Wilayah Sempadan Selatan, Phaithoon Choochaiya.

Pemberontak sering menyerang pasukan keselamatan, pekerja kerajaan dan orang awam beragama Buddha dan Islam tetapi jarang melibatkan pelancong asing.

Pengarah Hospital Sungai Golok berkata, 19 pelancong dari Malaysia adalah antara yang tercedera dalam serangan semalam.

Katanya, 40 orang masih dirawat di hospital manakala yang lain telah dibenarkan pulang.

Dua letupan bom di luar Hotel Parkson dan pusat kebudayaan Cina dipercayai dipasang pada dua buah motosikal.

Satu lagi letupan di luar Hotel Merlin dan berdekatan dengan balai polis dipercayai bom yang dipasang di dalam sebuah kereta.

Bagaimanapun, seorang lagi pegawai polis Thai mendakwa serangan bom itu dilakukan oleh sindiket pengedaran dadah.

Ketua polis Sungai Golok, Kolonel Jakraporn Thaenthong berkata, serangan tersebut merupakan balas dendam sindiket dadah terhadap tindakan keras polis yang sering diambil terhadap mereka.

Katanya, sejak kerajaan baru ditubuhkan pada Ogos lalu, polis telah merampas kira-kira 100,000 pil methamphetamine di wilayah Narathiwat.

“Serbuan terbaru dilakukan Rabu lalu di kawasan itu dan kami percaya pengedar dadah yang melakukan serangan tersebut,” katanya.

Artikel Berikut

14 Terkorban Dalam Banjir Di Kemboja

Artikel Lain