suria

MASKargo Terima Pesawat A330-200F Di Toulouse

TOULOUSE: MASKargo Sdn Bhd, anak syarikat pengangkut kargo Malaysia Airlines, pada Khamis menerima pesawat pertama daripada empat pesawat kargo A330-200F yang ditempah di pusat pemasangan Airbus di Toulouse, Perancis.

Pesawat kargo itu akan berlepas dari sini ke Amsterdam dahulu sebelum memulakan penerbangan komersil sulung ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Pengarah Urusan MASKargo Shahari Sulaiman berkata pesawat kedua dijadual diserahkan pada November manakala ketiga dan keempat dijangka pada Januari dan April tahun depan.

Sebagai pesawat kargo generasi akan datang, beliau berkata pesawat berharga US$200 juta itu boleh membawa muatan sehingga 70 tan dengan kapasiti penerbangan sehingga 4,000 batu nautika.

Pesawat A330s itu juga membolehkan syarikat meneroka kawasan berpoteni baru yang tidak boleh dilaksanakan oleh pesawat sedia ada B747.

Shahari berkata industri syarikat penerbangan mengalami kos operasi yang tinggi susulan kenaikan harga bahan api kira-kira 35 peratus berbanding tahun lepas, menjadikan MASkargo mengurangkan kapasiti bagi rangkaian pesawat kargo 747-200F yang dipajak.

"Pesawat A330 menggantikan pesawat pajakan pesawat 747 klasik. Pesawat tersebut membakar bahan api lebih banyak berbanding 747-400.

"Jadi, apabila kami melihat kepada operasi tahun depan, kami akan mempunyai 747-400 yang amat efisen bahan api dan pesawat A330 yang akan mmebolehkan kami memperluaskan rangkaian kami," kata beliau kepada wartawan Malaysia pada majlis penyerahan pesawat kargo sulung A330-200F di sini.

Shahari berkata pesawat bersaiz sederhana A330-200F itu akan dikuasakan oleh enjin Pratt Whitney PW4170 yang ditingkatkan, yang merupakan teknologi enjin eko efisen terkini bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan paras bunyi bising.

Pesawat itu dijangka meningkatkan kapasiti MASkargo ke Narita, Jakarta, Hong Kong, Shanghai, Amsterdam, Sharjah dan Pulau Pinang.

Dengan penyerahan tersebut, MASKargo dapat mengembangkan rangkaiannya ke destinasi baru seperti Osaka, Taipei, Karagandy (Kazakhstan) dan juga ke Eropah dan Australia.

Apabila menerima keempat-empat pesawat kargo A330-200 itu nanti, cabang kargo syarikat penerbangan nasional itu dijangka menyaksikan perolehan naik sebanyak RM200 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2012.

Dengan adanya pesawat efisen bersaiz sederhana dalam kumpulan pesawatnya, Shahari berkata syarikat berharap untuk dapat meningkatkan kapasiti sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata MASKargo menyasar untuk menembusi pasaran Rusia yang lumayan dengan itu membolehkan lebih banyak fleksibiliti bagi syarikat untuk menjual pelbagai destinasi.

Mengenai perkhidmatannya ke China, yang menyumbang 35 peratus perolehan syarikat, Shahari berkata pesawat A330s akan membolehkan MASKargo menawarkan perkhidmatan dengan berkesan pada sektor tersebut, memandangkan kerajaan China mempromosikan Chengdu dan Chonqin.

"Sebagai contoh Chonqin HP, yang merupakan kilang terbesar akan ditubuhkan di kawasan itu dan Apple juga memindahkan operasinya di sana.

"Pembuatan yang besar dilakukan di sana dan syarikat lain seperti Dell dan Lenovo turut membina kemudahan mereka di kawasan itu.

"Jadi kami menjangka banyak pertumbuhan bakal muncul di Chengdu dan Chonqin," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

15 Maut Letupan Bom Kereta Di Iraq

Artikel Lain