suria

Saksi Kes Mubarak Didakwa Buat Sumpah Palsu

CAIRO: Seorang saksi pendakwa raya ditahan diatas tuduhan membuat sumpah bohong semasa memberi keterangan dalam perbicaraan Presiden Mesir, Hosni Mubarak dengan beberapa saksi sebelum ini juga disyaki menipu dalam keterangan yang dibuat mereka.

Para peguam berkata empat saksi sebelum ini yang merupakan anggota sistem keselamatan yang berkuasa di Mesir memberi testimoni yang berlainan daripada afidavit yang diberi mereka sebelum itu kepada mahkamah.

Para saksi tersebut menafikan mereka mengetahui bahawa satu arahan menembak para penentang dikeluarkan semasa pemberontakan selama 18 hari yang menumbangkan Mubarak.

Mubarak bersama enam pemimpin kanan keselamatan sedang dibicarakan di atas dakwaan terlibat dalam pembunuhan para penunjuk perasaan dan arahan menggunakan peluru hidup untuk menumpaskan demonstarasi menjadi kunci utama kes tersebut.

Dalam mahkamah pada Rabu, saksi terbaru, Kapten Mohammed Abdel-Hakim yang ditugaskan dalam unit peluru untuk rejimen keselamatan Cairo menafikan sebarang peluru hidup diberi kepada polis anti rusuhan.

Para peguam untuk keluarga penunjuk perasaan yang terbunuh menuduh Abdel-Hakim menukar testimoni awalnya yang mengatakan dia mengakui mengarahkan beratus peluru diberi kepada setiap anggota anti rusuhan.

Pihak pendakwa raya dengan segera mendakwa Abdel-Hakim dengan dakwaan memberi sumpah bohong dan hakim mengarahkannya ditahan. -AP

Artikel Lain