suria

Lelaki Pecah Masuk Rumah Celine Dion Sempat Makan

MONTREAL: Seorang lelaki berusia 36 tahun didakwa selepas memecah masuk rumah penyanyi tersohor, Celine Dion, mengeledah peti ais dan sempat mandi, kata polis pada Selasa.

Suspek, Daniel Bedard ditangkap polis di pinggir bandar Montreal, Laval pada tengah hari Isnin selepas alat sistem penggera berbunyi.

Bintang antrabangsa itu dan suaminya, Rene Angelil tidak berada di rumah pada waktu kejadian.

Pasangan tersebut kebiasannya tinggal di Florida, Amerika Syarikat namun menggunakan kediaman di Kanada itu apabila mereka pulang ke Quebec.

Jurucakap polis Laval, Franco Di Genova berkata suspek sedang bersedia untuk mandi di dalam air panas yang disediakannya dalam tab mandi apabila polis tiba di rumah Dion.

"Dia membuka kepala paip, mencurah air yang agak panas malah dia sempat makan pastri yang diambilnya dari peti ais," kata Di Genova.

Di Genova berkata polis memasuki rumah tersebut dari tingkat bawah tanah dan terserempak lelaki tersebut di tingkat utama.

"Suspek sedang menuruni tangga utama dan bertanya 'Hei, apa yang kamu buat di sini?'," kata Di Genova.

"Jadi anggota polis menjawab: 'apa pula yang kamu buat di sini?' dan mereka kemudian menahannya."

Di Genova berkata lelaki tersebut melompat pagar rumah untuk memasuki premis tersebut dan menggunakan pembuka pintu garaj yang dijumpainya dalam sebuah kereta yang tidak dikunci sebagai alat memecah masuk kediaman mewah itu.

Suspek yang merupakan penduduk tempatan didakwa pada Selasa atas tuduhan pecah dan masuk, mencuri kenderaan dan menyebabkan kerosakan harta benda. -AP

Artikel Lain