suria

Pemimpin Kanan Al-Qaeda Ditahan Di Pakistan

ISLAMABAD: Seorang pemimpin kanan Al-Qaeda dipercayai bertanggungjawab merancang beberapa serangan di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Australia kini ditahan di Pakistan.

Tentera Pakistan mengumumkan bahawa Younis al-Mauritani ditahan di kawasan pinggir bandar di timur laut bandar Quetta bersama dua lagi anggota operasi tertinggi rangkaian itu dalam operasi bersama perisik Pakistan dan AS.

Penahanan itu memberi satu lagi tamparan hebat kepada rangkaian pengganas antarabangsa itu selepas empat bulan ketuanya, Osama bin Laden dibunuh dalam satu serbuan askar AS.

"Ia satu operasi perisikan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) bersama Frontier Corps Baluchistan dengan kejayaan menahan pemimpin kanan Al-Qaeda, Younis al-Mauritani, yang berperanan merancang dan melaksanakan operasi antarabangsa," kata tentera Pakistan dalam satu kenyataan.

Dua lagi anggota kanan ialah Abdul Ghaffar al-Shami dan Messara al-Shami.

Namun kenyataan itu tidak menyatakan bila pemimpin kanan Al-Qaeda itu ditahan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain