suria

Aidilfitri Di Somalia Diselubungi Hiba Rakyat Yang Dilanda Kebuluran

MOGADISHU (SOMALIA): Suram. Hanya itu yang dapat digambarkan mengenai suasana Aidilfitri yang disambut rakyat Somalia pada Selasa.

Masakan tidak, tatkala umat Islam lain menyambut kedatangan Syawal dengan meriah, Somalia yang 98.5 peratus penduduknya beragama Islam berdepan krisis makanan terburuk selain perang saudara yang tidak pernah tamat.

Sepanjang perjalanan menuju ke Masjid Isbaheysiga, masjid terbesar di sini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, hanya wajah sayu yang dapat dilihat anggota misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia.

Malah, wajah sayu juga yang mengisi saf di masjid itu, sementara di pekarangannya pula kanak-kanak menunggu untuk membersih dan mengilatkan kasut jemaah demi mencari upah yang tidak seberapa bagi mengisi perut yang kosong.

Menurut seorang rakyatnya, Abdul Waheed Abdul Wahid, hari raya di Somalia disambut mengikut taraf ekonomi sesebuah keluarga. Hidangan lazim pula ialah sejenis manisan dikenali sebagai 'sargam' dan 'sour'.

Usai solat sunat Aidilfitri, ketua misi yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan sumbangan wang tunai kepada jawatankuasa masjid.

Selain itu, anggota misi juga menyampaikan sumbangan dalam bentuk pakaian dan makanan kepada kira-kira 5,000 penduduk setempat.

Namun, tempoh pemberian bantuan terpaksa dipendekkan apabila mereka yang hadir berebut-rebut untuk mengambil sumbangan menyebabkan berlaku kekecohan.

Keadaan itu juga menyebabkan anggota misi terpaksa beredar lebih awal daripada yang dijadualkan.

Misi dari Malaysia yang disertai 55 anggota termasuk warga media, tiba di sini pada Isnin selepas mengharungi perjalanan selama 20 jam dari Kuala Lumpur, menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

Misi bertujuan menghantar sumbangan ke lima kawasan di negara ini yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai negara dilanda krisis kemanusiaan terburuk dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain