suria

Wajib Bayar Ganti Rugi Tunai Jika Tangguh Penerbangan Lebih 4 Jam

JAKARTA: Mulai November ini, para penumpang pesawat syarikat-syarikat penerbangan yang mengalami masalah penundaan masa penerbangan melebihi empat jam akan berhak mendapat ganti rugi wang tunai Rp300,000 (kira-kira RM107) setiap orang daripada syarikat terbabit.

Perkara ini terkandung dalam Peraturan Menteri Perhubungan, yang baru di tandatangani Menteri Perhubungan Freddy Numberi pada 8 Ogos, akhbar harian Kompas melaporkan Khamis.

Laporan itu memetik Ketua Pusat Komunikasi Awam kementerian, Bambang Ervan sebagai berkata bahawa peraturan baru itu akan berkuatkuasa tiga bulan setelah ia ditandatangani.

"Mulai November ini, penumpang boleh membawa kes ke mahkamah jika syarikat penerbangan berkenaan tidak membayar ganti rugi. Kalau daripada pihak kami, dendanya berbentuk pentadbiran," katanya.

Denda pentadbiran yang dimaksudkan ialah pembekuan permit perniagaan selama 14 hari jika syarikat penerbangan terbabit tidak mematuhi surat peringatan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Dalam peraturan sebelum ini, syarikat penerbangan hanya dikehendaki memberi minum dan makanan ringan serta makan tengah hari atau makan malam kepada para penumpangnya jika masa penerbangan ditunda lebih tiga jam. - BERNAMA

Artikel Lain