suria

Kes Bunuh Diri Selubungi Mangsa Tsunami Jepun

SUKAGAWA: Apabila seorang petani, Hisashi Tarukawa menyaksikan sebuah loji nuklear tempatan meletup di kaca televisyen, dia merasakan dunianya telahpun berakhir.

Beberapa hari kemudian, awan radioaktif yang terhasil daripada loji nuklear Fukushima memaksa pihak berkuasa mengharamkan penjualan hasil tanaman dari daerah Fukushima, iaitu kawasan yang menjadi tempat petani berusia 64 tahun itu menaman padi dan sayur-sayuran sepanjang hidupnya.

Pada pagi 24 Mac sebelum subuh, anak Turukawa, Kayuza menjumpai bapanya itu tergantung dengan tali di sebatang pokok di atas kebun sayurnya.

"Saya bergegas ke pokok itu dan bercakap dengan bapa saya, namun badannya telah pun sejuk," kata Kazuya, 36.

Kebun sayur milik keluarga tersebut berada di Sukagawa, 60 kilometer dari loji nuklear yang terjejas akibat gempa bumi.

Tarukawa, seorang bapa beranak tiga tidak meninggalkan sebarang surat yang menjelaskan tindakannya membunuh diri yang dianggap keluarganya sebagai perbuatan yang tidak perlu dilakukannya.

"Saya percaya tindakannya membunuh diri adalah tindakan bantahan (terhadap apa yang terjadi), seperti 'Seppuku'," kata Kazuya.

Seppuku adalah tindakan membunuh diri secara ritual yang pada zaman dahulu diamalkan oleh pahlawan samurai dan juga dikenali sebagai harakiri di Barat.

Keluarga Tarukawa memberitahu, Tarukawa sering berkata tentang keburukan radiasi sejak dia menghadiri satu acara tahunan di Hiroshima 23 tahun dahulu bagi berkabung untuk mangsa-mangsa serangan bom atom pada tahun 1945 di Hiroshima.

"Saya tidak mahu kematiannya menjadi sia-sia," kata Kazuya.

Kazuya bersumpah akan menyaman pengendali loji, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) untuk masalah kewangan dan kerosakan emosi yang dihadapi keluarganya.

Tragedi nuklear terburuk di dunia sejak peristiwa Chernobyl, 25 tahun yang lalu itu berlaku disebabkan gempa bumi di dasar laut pada 11 Mac lalu.

Gempa bumi itu menyebabkan berlakunya tsunami besar yang telah mengorbankan lebih kurang 20,000 nyawa di sepanjang pantai Pasifik.

TEPCO bagaimanapun mendakwa kemusnahan yang berlaku diloji tersebut tidak dapat diramalkan.

Para pengkritik berkata, pihak pengendali tidak menghiraukan amaran pakar mengenai ancaman seismos.

Ketakutan dan kemarahan semakin meningkat di Jepun terutamanya di Fukushima di mana berpuluh-puluh ribu orang penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan di mana petani, nelayan, pemilik hotel dan yang lain kehilangan mata pencarian mereka.

Balu Tarukawa, Mitsuyo Hisashi teringat bagaimana mendiang suaminya terkejut apabila gempa bumi itu memusnahkan bangsal dan gudangnya dan bagaimana kesedihan yang dihadapi membuatkannya menjadi panik memikirkan keburukan bencana atom yang mungkin muncul.

"Suami saya merupakan seorang lelaki yang tabah namun dia menyerah kalah kepada radiasi" kata wanita berusia 61 tahun itu.

Menyayat Hati

Tragedi yang berlaku terhadap keluarga Turakawa bukanlah kes terpencil.

Kerajaan Jepun berkata sekurang-kurangnya 16 orang yang kebanyakannya warga emas berusia 50-an dan 60-an membunuh diri pada bulan Jun kerana berputus asa menghadapi bencana berganda iaitu gempa bumi, tsunami dan ancaman bencana nuklear.

Jumlah kes bunuh diri terus memuncak di Jepun disebabkan tekanan tidak dapat berhadapan dengan bencana alam.

Setiap tahun lebih daripada 30,000 orang mengambil nyawa sendiri di Jepun, antara jumlah kes bunuh diri yang tertinggi di dunia.

Pakar-pakar bimbang bahawa kesedihan yang dihadapi oleh masyarakat Jepun sejak peristiwa 11 Mac lalu akan memburukkan lagi statistik bunuh diri yang berlaku di pusat-pusat pemindahan dan rumah-rumah sementara yang menempatkan mangsa bencana yang terselamat.

Menurut satu laporan media tempatan, seorang mangsa bencana kurang upaya yang dipindahkan berusia 93 tahun telah membunuh diri pada Jun dengan memberitahu keluarganya melalui satu nota bahawa dia tidak mahu menyusahkan keluarganya.

Selepas hampir setengah tahun bencana gempa bumi berlalu, jumlah pelarian telah melebihi 87,000 termasuklah mereka yang datang daripada jarak 20 kilometer dari kawasan loji nuklear yang terjejas dengan radiasi.

Pakar-pakar berkata, kebanyakan mangsa yang terselamat dibayangi rasa bersalah kerana masih hidup sedangkan ramai yang telah terkorban atau berasa tertekan kerana tidak dapat menyelamatkan orang kesayangan yang terkorban.

"Tidak ramai yang mahu membunuh diri sejurus selepas berlakunya bencana disebabkan mereka berasa bersyukur kerana terselamat," kata ketua sebuah kumpulan pencegahan bunuh diri dan kaunseling Kumo No Ito, Hisao Sata.

"Namun apabila masa berlalu, mereka mula mempertimbangkan untuk membunuh diri selepas berhadapan dengan realiti, hilang momentum juga berasa penat dan tersisih malah sokongan dari luar pula semakin berkurangan."

Sato yang bimbang jumlah kes bunuh diri akan semakin meningkat, telah cuba membuat lawatan bulanan untuk memberi khidmat kaunseling kepada mangsa yang terselamat di bandar Kamaishi yang terjejas.

Kerajaan Jepun mempertimbangkan akan memberi khidmat penjagaan kesihatan mental kepada mangsa yang tinggal di rumah dan kawasan perlindungan sementara.

Namun pakar psikiatri berkata, program sedemikian tidak akan berhasil melainkan mangsa juga diberikan sokongan menyeluruh dan praktikal termasuk bantuan kewangan dan bantuan mencari kerja dan rumah baru.

"Bencana ini terlalu besar untuk ditangani dengan sokongan yang biasa.

"Kita perlu memberi sokongan dari pelbagai sudut secara menyeluruh untuk mangsa," kata pegawai Pusat Pencegahan Bunuh Diri Iwate, Toshihiro Fujiwara.

Salah seorang mangsa terselamat, Tsukasa Kanno, 59, berkata jumlah kehilangan nyawa di kawasannya, Kamaishi adalah sangat teruk di mana 1,200 orang dilaporkan maut atau hilang berhampiran pantai.

"Saya kehilangan rumah dan kedai tetapi saya gembira kerana kesemua ahli keluarga saya terselamat," kata Kanno.

"Tetapi kami harus mula berfikir tentang apa yang akan berlaku terhadap kami.

"Saya hilang ikhtiar dan tidak dapat melihat masa hadapan," ujarnya lagi.

Kanno berkata, apa yang paling menyayat hatinya ialah terdapat jurang antara mereka yang hilang kesemua harta benda dengan mereka yang lain yang masih hidup malah rumah mereka terselamat daripada bencana.

"Bagaikan syurga dan neraka yang wujud di dalam satu komuniti yang sama," katanya. -AFP

Artikel Sebelum

Strauss-Kahn Bebas

Artikel Berikut

Artikel Lain