suria

Mahkamah Antarabangsa: Pemberontak Tawan Anak Gaddafi

THE HAGUE, Belanda: "Pasukan gerak khas" pemberontak berjaya menangkap Seif al-Islam Gadhafi, anak kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang kedua-duanya didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, menurut pihak pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa, pagi Isnin.

Seif Gadhafi bersama ayahnya dan Ketua Risikan Libya, Abdullah al-Sanoussi dihadapkan ke mahkamah pada Mei lalu atas dakwaan mengarah, merancang dan terlibat dalam serangan haram terhadap rakyat pada permulaan gerakan keras menentang penentang rejim itu.

Mereka didakwa terlibat dalam kempen untuk menyerang rakyat di rumah mereka, menembak mereka yang berdemonstrasi dengan peluru hidup, menembak dengan meriam dan menghantar penembak hendap untuk membunuh mereka yang meninggalkan masjid.

Pendakwa raya Luis Moreno-Ocampo memberitahu media bahawa Seif Gadhafi ditangkap oleh pasukan "gerak khas pemberontak". Dia bagaimanapun enggan memberitahu maklumat lanjut mengenai penahanan itu atau sumber maklumat tersebut.

"Pagi esok, kita akan bercakap dengan mereka," Moreno-Ocampo berkata mengenai para pemberontak tersebut.

"Sudah sampai masanya untuk keadilan, bukan pembalasan."

Seif Gadhafi berjaya ditangkap selepas para pemberontak mara ke Tripoli, ibu negara Libya tanpa mendapat penentangan hebat. Seorang pemimpin pemberontak berkata, unit yang ditugaskan untuk melindungin Gadhafi dan Tripoli menyerah kalah dan menyertai pemberontakan tersebut.

Ini sekali gus memudahkan pemberontak memasuki Tripoli.

Seorang lagi anak Gadhafi menghubungi pihak pemberontak untuk melahirkan hasrat menyerah diri, menurut pihak pemberontak.

Moreno-Ocampo berkata dia tidak tahu mengenai di mana Gaddafi berada sekarang.

"Kami berharap Moammar Gadhafi turut berjaya ditangkap dan dibawa menghadap muka pengadilan," katanya. "Mereka yang melakukan jenayah sedemikian tidak lagi bebas daripada menerima hukuman."

Hakim-hakim di mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada ketiga-tiga suspek tersebut pada Jun. Bagaimanapun, mahkamah tidak mempunyai pihak polis dan bergantung kepada pemberontak untuk menangkap mereka.

Moreno-Ocampo berkata dia mempunyai bukti Gadhafi mengeluarkan arahan dan anaknya menguruskan perekrutan askar upahan untuk menentang pemberontak.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Februari menggesa satu siasatan dilakukan terhadap kekejaman yang dilakukan keatas pemberontak rejim Gadhafi.

Moreno-Ocampo tidak mungkin membuka kertas siasatan tanpa mendapat kelulusan PBB kerana Libya tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu dan tidak meratifikasi perjanjian-perjanjian.

Selepas waran tangkap dikeluarkan, Menteri Kehakiman Libya, Mohammed al-Qamudi menyifatkan mahkamah tersebut sebagai barisan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Artikel Lain