suria

K'jaan Filipina Secara Rasmi Tawar Autonomi Kepada Pemberontak Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina pada Isnin telah menawarkan kuasa autonomi kepada pemberontak Islam di selatan negara itu tetapi dengan syarat mereka mestilah terlebih dahulu meletakkan senjata.

Tawaran itu dikatakan terkandung di dalam cadangan yang disyorkan oleh Kerajaan Pusat Filipina dalam usaha mereka mencapai perdamaian dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF) yang mempunyai 12,000 anggota.

Rundingan damai tiga hari itu sedang berjalan di sini dengan disaksikan oleh Kerajaan Malaysia sebagai orang tengah.

Cadangan yang disyorkan itu kelihatan lebih praktikal serta lebih memberi kuasa autonomi kepada Bangsa Moro untuk mentadbir hal ehwal budaya dan adat mereka sendiri.

Adalah difahamkan, kuasa autonomi itu nanti akan diperluaskan daripada wilayah autonomi yang wujud sekarang di Mindanao yang membentuk lima wilayah yang majoritinya berbangsa Moro dan beragama Islam.

Lima wilayah autonomi itu diwujudkan pada tahun 1980-an untuk memberi ruang perdamaian antara Kerajaan Pusat dengan Moro National Liberation Front (MNLF) yang ketika itu merupakan organisasi Moro paling besar dan berpengaruh yang diketuai oleh Nur Misuari.

MNLF menandatangani perjanjian damai secara rasmi dengan Manila pada 1996 tetapi ia telah dilihat sebagai satu percubaan autonomi yang gagal.

Adalah dianggarkan sejak pertikaian meletus antara Manila dengan masyarakat Moro di selatan sejak tahun 1970-an, sejumlah 150,000 orang telah terkorban.

Artikel Lain