suria

Indonesia Rangka Peraturan Agar Masyarakat Kurangkan Makan Garam

JAKARTA: Bimbang dengan meningkatnya angka kematian akibat penyakit tidak berjangkit, Kementerian Kesihatan Indonesia sedang menyiapkan peraturan untuk mengehadkan pengambilan garam oleh masyarakat.

Sasaran awal dasar itu ialah untuk mengurangkan penyakit seperti strok dan darah tinggi yang banyak dialami masyarakat Indonesia.

Peraturan Menteri Kesihatan berhubung perkara itu dijangka terbit selewat-lewat awal tahun depan dan ia akan kemudiannya disusuli dengan peraturan bagi mengehadkan pengambilan gula dan lemak.

Ketua Pengarah Pengendalian Penyakit dan Penyihatan Persekitaran Kementerian Kesihatan Tjandra Yoga Aditama dipetik harian Kompas pada Jumaat sebagai berkata peraturan itu akan ditujukan kepada restoran makanan segera atau restoran francais kerana ia lebih mudah dikawal berbanding warung biasa.

Tjandra yang bercakap di tengah-tengah Pertemuan Nasional Strategi Bersama Pengendalian Penyakit Tidak Berjangkit di Jakarta, berkata pihaknya sedang menyusun formula sukatan tepat bagi mengehadkan pengambilan garam kerana pada masa ini pengambilan garam oleh masyarakat Indonesia lebih tinggi berbanding mereka yang tinggal di negara lain di Asia Tenggara.

Di Amerika Syarikat pengambilan garam ialah sembilan hingga 12 gram sehari atau 3,600-4,800mg natrium namun beberapa pertubuhan kesihatan menyarankan bahawa pengambilan garam lebih sesuai pada kadar lima hingga enam gram sehari atau 2,000-2,400mg natrium.

Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit Ekowati Rahajeng yang bertanggungjawab menyiapkan peraturan itu berkata tujuan utama mengehadkan pengambilan garam ialah untuk mengurangkan pengambilan natrium.

Menteri Kesihatan Endang Rahayu Sedyaningsih dalam ucapannya di majlis itu berkata angka kematian akibat penyakit tidak berjangkit di Indonesia meningkat daripada 41.7 peratus pada tahun 1995 kepada 49.9 peratus (2001) dan kemudian 59.5 peratus (2007).

Penyakit penyebab kematian yang tertinggi ialah strok (15.4 peratus) disusuli darah tinggi, kencing manis dan barah. Peningkatan kes-kes penyakit tidak berjangkit banyak didorong oleh gaya hidup tidak sihat seperti tabiat merokok, pola makan yang salah dan kurangnya aktiviti fizikal, kata menteri itu. - BERNAMA

Artikel Lain