suria

Reaktor Nuklear Jepun Beroperasi Semula

TOKYO: Jepun pada Rabu buat pertama kalinya membuka semula operasi komersial salah sebuah loji tenaga nuklearnya sejak gempa bumi melanda negara itu 11 Mac lalu.

Hokkaido Electric Power Co. memulakan operasi ke atas loji nombor tiga sebaik sahaja menerima lampu hijau daripada Kerajaan Pusat.

Hampir sepertiga daripada 54 loji tenaga nuklear Jepun ditutup ekoran gempa bumi itu - semuanya untuk tujuan pemeriksaan keselamatan dan kebocoran.

Perdana Menteri, Naoto Kan sebelum ini telah mengeluarkan garis panduan dan dasar jangka panjang baru kerajaan iaitu untuk menghapuskan semua bentuk tenaga nuklear secara berperingkat.

Bagaimanapun, buat masa ini, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri mahukan kesemua loji tenaga nuklear yang telah menerima isyarat lampu hijau agar beroperasi sepertimana biasa untuk memacu ekonomi Jepun ke tahap yang diperlukan.

Sumber tenaga hasil janaan loji nuklear menyumbang sehingga satu pertiga kepada tenaga elektrik domestik dan komuniti bisnes telah memberi amaran, sebarang pengurangan bekalan kepada industri negara itu akan membawa malapetaka yang lebih besar.

Ekonomi Jepun adalah yang ketiga terbesar di dunia.

Sementara itu, loji tenaga nuklear Hokkaido secara tidak rasminya telah beroperasi menghasilkan tenaga elektrik sejak beberapa bulan lalu tetapi ia masih diletakkan di bawah pengawasan.

Gabenor Hokkaido, Harumi Takahashi berkata, selepas mengadakan perdebatan dan rundingan dengan semua pihak, akhirnya pada Rabu beliau memberi 'lampu hijau' kepada loji tersebut untuk beroperasi secara komersial sepertimana biasa.

Krisis nuklear di Jepun bermula apabila gempa bumi terbesar dalam sejarah negara itu yang berlaku pada 11 Mac lalu telah memusnahkan enam loji nuklear di Fukushima.

Gempa bumi itu juga telah mencetuskan tsunami dan secara keseluruhannya telah mengorbankan lebih 20,000 nyawa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain