Wajah Sebenar Perusuh & Penjarah Mula Kelihatan Apabila Perbicaraan Bermula - Dunia | mStar

Wajah Sebenar Perusuh & Penjarah Mula Kelihatan Apabila Perbicaraan Bermula

LONDON: Dari chef masakan organik, pembantu di panggung opera sehinggalah kepada pelajar universiti - imej yang mengejutkan ini mula muncul apabila pembuat kacau, perusuh dan penjarah yang telah mencalar wajah Great Britain dalam tempoh empat hari yang lalu dikemukakan di mahkamah untuk dibicarakan.

Sementara sebahagian besarnya memperlihatkan wajah-wajah hasil daripada keluarga yang berpecah yang kemudiannya diketepikan oleh masyarakat, tetapi pada masa yang sama, mereka yang dihadapkan ke mahkamah yang merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 orang yang ditahan polis sebenarnya terdiri lebih daripada itu.

Di ibu kota ini sahaja, sejumlah 770 orang telah ditahan dan sekurang-kurangnya 105 telah didakwa di mahkamah pada Rabu.

Sebelum itu, 40 orang telah didakwa di mahkamah pada hari Selasa dalam usaha kerajaan untuk mempamerkan bahawa mereka tidak mahu melengah-lengahkan perbicaraan ke atas orang yang bertanggungjawab merusuh dan menjarah tempat-tempat awam dan rumah kedai tanpa sebab.

Salah seorang daripadanya ialah Fitzroy Thomas, seorang chef berusia 43 tahun telah didakwa bersama-sama saudaranya Ronald, 47, atas kesalahan menjarah dan merosakkan Restoran Nando’s di Clapham, selatan London, lapor akhbar the Times.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Magistret London dan ditahan reman. Nan Asante, 19, yang baru sahaja bekerja sebagai pembantu di sebuah panggung opera terbuka di Holland Park, juga mengaku tidak bersalah atas kesalahan menjarah sebuah pasar raya.

Seorang lagi perusuh yang didakwa di mahkamah ialah pemuda berusia 20 tahun bernama Banye Kanon yang merupakan penuntut di Universiti Essex.

Akhbar The Guardian menimbulkan satu persoalan iaitu tidak ada jawapan mudah kepada soalan siapakah sebenarnya mereka yang menjarah dan merusuh ini.

Sementara sebahagian besar daripada mereka adalah terdiri daripada keluarga yang miskin tetapi pada masa yang sama, ramai juga yang datang dari latarbelakang kaum yang berlainan termasuklah wanita.

Malah mereka yang merusuh dan menjarah terdiri daripada remaja sehinggalah kepada lelaki yang berusia lebih 40 tahun.

Terdapat juga para pemerhati dan penganalisa melihat wujudnya elemen ‘merebut peluang’ dan ‘mengambil kesempatan’ ekoran daripada kekacauan ini untuk mencuri dan melarikan barang milik orang lain.

Tetapi tidak syak juga, kumpulan gangter dari kawasan yang miskin dan terpinggir menjadi dalang kepada kekacauan yang meletus ini, iaitu yang terburuk dalam tempoh 30 tahun di Great Britain.

Di Manchester, yang mana rusuhan meletus pada hari Selasa, kumpulan atau gang yang berusia di hujung remaja dan yang berumur dalam lingkungan 20-an yang pada hari-hari biasa menunggang basikal telah mengambil kesempatan ini menguasai jalan dan lorong yang ditinggalkan untuk menjarah dan memecahkan kedai-kedai dan melarikan barang-barang berharga seperti barangan elektrik dan juga pakaian berjenama.

Pakar pendidikan, Profesor Gus John ketika ditemubual oleh agensi berita AFP menyifatkan apa yang berlaku ini adalah manifestasi kekecewaan dan kemarahan sekumpulan pemuda yang dipinggirkan sejak sekian lama oleh masyarakat dan merasakan mereka adalah kumpulan yang terbuang dalam masyarakat.

Mereka ini katanya adalah kumpulan manusia yang tidak lagi dapat melihat masa depan yang cerah dalam kehidupan mereka.

Bagaimanapun, tidak semua berpendapat sedemikian.

Bekas calon pilihan raya dari Parti Konservatif, Shaun Bailey menulis dalam akhbar The Sun, tabloid harian paling laris di Britain bahawa apa yang berlaku ini tiada kena mengena dengan situasi dan jurang dalam masyarakat.

"Ini sebenarnya adalah satu bentuk rompakan dan kehidupan dan perniagaan orang lain telah musnah akibat daripada rompakan ini," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Korban Letupan Di Selatan Afghanistan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain