suria

Rusuhan Paling Buruk Dalam Tempoh 30 Tahun Di Britain

LONDON: Rusuhan paling buruk di Britain sejak beberapa dekad ini telah merebak dari kota London ke bandar-bandar besar yang lain seperti Manchester, Birmingham serta beberapa kawasan perindustrian yang lain dengan kumpulan remaja mengamok dan menjarah apa sahaja yang mereka lihat.

Bagaimanapun di sekitar ibu kota ini, situasi agak tenteram apabila pihak berkuasa mengerah 16,000 anggota polis ke kawasan-kawasan yang dirusuh.

Di Manchester, iaitu bandar ketiga terbesar di Britain, remaja telah memecah tingkap kedai dan pusat membeli-belah malah mengejar wartawan dan jurugambar yang cuba merakamkan perbuatan mereka itu.

Polis menyifatkan penjarahan yang berlaku di Manchester sebagai yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Di tempat-tempat lain seperti di West Bromwich dan Wolverhampton di tengah England, sekumpulan remaja telah membakar bangunan tanpa sebab serta melakukan kerosakan pada harta awam yang lain.

Para remaja juga dirakamkan menjarah kedai-kedai di sekitar bandar Birmingham iaitu bandar kedua terbesar di Britain selepas London dan begitu juga di Liverpool.

Perdana Menteri, David Cameron dalam ucapan yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara telah berkata, pihak berkuasa akan mengambil apa jua langkah yang perlu untuk menguatkuasakan undang-undang semula.

Beliau juga berkata, apa yang berlaku di London dan bandar-bandar lain di seluruh negara itu adalah merupakan satu jenayah semata-mata dan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan.

Polis Britain atau lebih dikenali dengan panggilan Scotland Yard pada Rabu memaklumkan bahawa setakat ini sejumlah 768 orang telah ditahan di kota ini sahaja kerana menjarah, berkelakuan ganas dan tidak mematuhi undang-undang.

Polis di Manchester termasuk Penolong Ketua Konstabel, Garry Shewan yang telah berkhidmat di bandar itu sejak 1981 berkata, apa yang disaksikannya adalah keganasan dan penjarahan tanpa sebab yang paling buruk sepanjang kariernya sebagai penguatkuasa undang-undang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain