suria

PM British: Ini Adalah Satu Masyarakat yang Sakit

LONDON: Perdana Menteri, David Cameron telah memberi keizinan kepada pasukan polis untuk menggunakan meriam air apabila berhadapan dengan perusuh sambil melabelkan masyarakatnya sebagai sebuah masyarakat yang semakin sakit.

Selepas empat malam berturut-turut beribu anak muda merusuh dan menjarah termasuk membakar bangunan-bangunan awam dan rumah kedai, bukan sahaja di sini malah merebak sehingga ke Manchester, Birmingham, Liverpool dan lain-lain bandar, Cameron berkata, terdapat di kalangan komuniti British sekumpulan masyarakat yang sedang sakit.

Di Birmingham, tiga lelaki dari keturunan Asia telah terbunuh apabila mereka dilanggar oleh sebuah kereta ketika sedang mengawal kawasan perumahan mereka daripada perusuh-perusuh ini.

"Kita perlu melawan balik dan mempertahankan undang-undang dan peraturan dan saya telahpun memberi kebenaran kepada polis untuk menggunakan meriam/pancutan air bagi menyuraikan perusuh jika mereka merusuh lagi," kata Cameron di luar pejabatnya di No 10 Downing Street selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan.

Inilah buat pertama kalinya meriam air dibenarkan oleh pihak berkuasa ke atas perusuh. Ia tidak pernah digunakan di England kecuali di Ireland Utara apabila berlakunya pergaduhan di antara dua kumpulan kristian dari mazhab yang berlainan.

Kekacauan ini turut mencetuskan kebimbangan orang awam dan masyarakat antarabangsa akan kemampuan pihak berkuasa tempatan mengendalikan keselamatan Sukan Olimpik yang akan berlangsung di London tahun hadapan.

Ia juga telah mendorong Persatuan Bolasepak Inggeris dan Belanda membatalkan perlawanan persahabatan di antara England dengan Belanda yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Rabu di Stadium Wembley.

Polis telah menahan lebih daripada 1,100 orang dalam tempoh empat hari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain