suria

Pihak Berkuasa Jerman Akhirnya Bebaskan Pesawat Milik Putera Mahkota Thailand

MUNICH: Pihak berkuasa Jerman akhirnya membenarkan pesawat Boeing 737 milik Putera Mahkota Thailand yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Munich berlepas keluar dari negara itu setelah ditahan sejak 12 Julai lalu.

"Pesawat itu telah dibebaskan," kata Naib Presiden sebuah mahkamah wilayah di Negeri Bavaria, Christoph Fellner kepada agensi berita AFP.

Pesawat peribadi milik Putera Maha Vajiralongkorn, telah ditahan atas perintah mahkamah ekoran pertelagahan antara Kerajaan Thailand dengan firma pembinaan Jerman berhubung soal bayaran yang tertunggak untuk projek pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Bangkok dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang 20 tahun lalu.

Krisis tersebut telah memaksa Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya terbang ke Berlin untuk mengadakan rundingan diplomatik.

Firma pembinaan tersebut mendakwa Kerajaan Thailand masih berhutang lebih Euro 30 juta kepada mereka.

Bagaimanapun, hasil rundingan antara kedua-dua buah negara, pesawat tersebut menerima surat pelepasan daripada mahkamah selepas Kerajaan Thailand bersetuju memberi jaminan sebanyak Euro 20 juta serta pengesahan bahawa pesawat yang ditahan itu adalah milik peribadi Putera Mahkota tersebut dan bukannya milik negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain