suria

Tiga Ditahan Cuba Cederakan Anggota Polis Dalam Rusuhan London

LONDON: Tiga orang telah ditahan kerana disyaki cuba mencederakan atau membunuh anggota polis yang sedang bertugas apabila kereta yang dinaiki mereka merempuh pegawai berkenaan ketika rusuhan di utara London.

Pegawai polis lelaki yang tercedera itu telah dimasukkan ke hospital selepas dilanggar di kawasan Brent. Dia sekarang berada dalam keadaan stabil. Seorang lagi pegawai polis yang turut dilanggar dirawat sebagai pesakit luar.

"Kejadian itu berlaku apabila pihak polis cuba menghalang beberapa buah kenderaan termasuk kenderaan yang dinaiki suspek kerana mereka dipercayai terlibat dalam menjarah sebuah kedai elektrik," kata kenyataan Scotland Yard pada Selasa.

Kota London kini berada dalam kekacauan selepas tiga hari berturut-turut dilanda rusuhan yang menyaksikan remaja membakar bangunan dan kenderaan serta menjarah kedai-kedai di sekitar kawasan yang bergolak.

Keganasan dilaporkan tercetus pada Sabtu malam di daerah Tottenham, utara London, selepas seorang lelaki tempatan ditembak mati oleh anggota-anggota polis ketika dia sedang berada di dalam teksi.

Artikel Lain