suria

Tokoh Terkemuka Asean-India Bincang Hubungan Masa Depan

JAKARTA: Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) dari 10 negara anggota ASEAN dan India telah mengenal pasti bidang kerjasama dan cabaran yang perlu ditangani bagi berusaha meningkatkan rakan perkongsian.

Pemimpin-pemimpin tersebut yang mengadakan pertemuan di Phnom Penh bagi menilai hubungan ASEAN-India sejak 19 tahun turut meneroka jalan dan kaedah bagi memperluaskan kerjasama yang sedia wujud antara dua pihak itu.

Dalam kenyataan Sekretariat ASEAN di sini, EPG India dan pengerusi bersama Kumpulan Tokoh Terkemuka ASEAN-India (AIEPG), Shyam Saran berkata misi mereka adalah untuk mencipta kembali hubungan lampau serta menjana kreativiti bagi menambah mementum kepada kebangkitan ASEAN.

Hubungan dialog ASEAN-India berkembang pesat dari Dialog Rakan Perkongsian sektoral pada 1992 kepada dialog penuh pada Disember 1995.

Hubungan tersebut terus diperkasakan dengan adanya Sidang Kemuncak ASEAN-India pada 2002.

Kedua-dua pihak juga memeterai Kerangka Kerja Mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif pada 2003, dan seterusnya Perjanjian Perdagangan Barangan pada 2009.

Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India, yang berkuatkuasa 1 Januari 2010, merintis jalan ke arah pembentukan salah satu kawasan perdagangan bebas (FTA)terbesar dunia dari segi populasi dengan pasaran hampir 1.8 bilion orang dan gabungan Keluaran Dalan Negara Kasar (GDP) bernilai US$3.3 trilion.

Pengerusi Bersama ASEAN dan Setiausaha Negara di Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Dr Kao Kim Hourn berkata tugas AIEPG adalah untuk menyediakan laporan bersepadu untuk membawa jalinan rakan perkongsian ke peringkat lebih tinggi.

Dr Kao, yang juga EPG Kemboja, berkata mereka juga berharap meningkatkan profil Rakan Perkongsian ASEAN-India dan memastikan kesinambungan sokongan India terhadap komuniti dan kesalinghubungan ASEAN.

Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Ekonomi), S. Pushpanathan menyambut baik perbincangan secara terus-terang dan pertukaran maklumat mengenai idea berani dan input membina pada mesyuarat itu.

"Mesyuarat sulung itu adalah petanda baik bagi ASEAN dan India dan saya yakin tokoh-tokoh terkemuka ini akan menghasilkan laporan berkualiti tinggi yang akan memberi impak ketara kepada Dialog Rakan Perkongsian," katanya.

Tugas AIEPG antara lain mencadangkan strategi bagi pelaksanaan efektif Pelan Tindakan ASEAN-India bagi melaksanakan Rakan Perkongsian Komprehensif Bagi Keamanan, Kemajuan dan Perkongsian Kesejahteraan (2010-2015).

Laporan AIEPG dijangka disiapkan pada tahun depan dan dikemukakan kepada Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN dan India sempena ulang tahun ke-20 Dialog Rakan Perkongsian ASEAN-India. - BERNAMA

Artikel Lain