suria

Pencari Suaka: Australia Tidak Beri Pengecualian Kepada Kanak-Kanak

MELBOURNE: Kerajaan Australia akan berpegang kepada rancangannya untuk menghantar ketibaan pencari suaka terbaru ke Malaysia dan tidak akan memberi pengecualian kepada bilangan besar kanak-kanak.

Menteri Imigresen, Chris Bowen berkata mereka yang tiba di Australia atau menempatkan anak-anak mereka di dalam bot harus mengetahui bahawa mereka akan dibawa ke Malaysia.

"Tiada pengecualian menyeluruh. Saya tidak akan wujud situasi di mana kami menyediakan ganjaran kepada orang yang menghantar anak mereka menaiki bot dan melakukan perjalanan yang bahaya itu," katanya seperti dipetik oleh Australian Associated Press (AAP).

Pada Jumaat lalu, Jabatan Imigresen Australia mengesahkan terdapat 18 kanak-kanak di kalangan 54 pencari suaka yang menaiki sebuah bot yang dipintas oleh pihak berkuasa di barat laut negara itu pada akhir bulan lepas.

Jabatan itu berkata hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada pencari suaka itu adalah orang dewasa manakala 18 adalah kanak-kanak termasuk 13 tidak temani oleh orang dewasa.

Pada 25 Julai lalu, Malaysia dan Australia menandatangani perjanjian bersejarah bagi pertukaran pelarian dan pemohon suaka di antara kedua-dua negara itu.

Mengikut perjanjian itu, Australia akan menghantar 800 pencari suaka ke Malaysia dan menerima 4,000 pelarian yang sudah diproses dari Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain