suria

Perbicaraan Hosni Mubarak Bermula Minggu Ini...

KAHERAH: Bekas Presiden Hosni Mubarak, yang akan dihadapkan ke muka pengadilan atas dakwaan membunuh dan penyalahgunaan kuasa Rabu ini bersama-sama dua orang lagi anaknya dan seorang menteri, telah menikmati kekuasaan mutlak selama tiga dekad tanpa digugat sebagai pemerintah Mesir sebelum digulingkan Februari lalu.

Dua orang anak lelaki Mubarak yang akan turut dibicarakan bersamanya ialah Alaa dan Gamal manakala seorang menteri yang akan turut didakwa pada hari yang sama ialah bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly bersama enam lagi timbalannya dan seorang usahawan bernama Hussein Salem.

Kejatuhannya dari tampuk kekuasaan adalah sesuatu yang sukar ditelannya.

Pada 10 April lalu, dalam ucapan pertamanya kepada khalayak umum yang disiarkan menerusi stesen tv Al-Arabiya, Mubarak menegaskan bahawa beliau dan keluarganya menjadi mangsa "dakwaan palsu yang bertujuan untuk merosakkan reputasi dan integritinya.

Kata-katanya itu sekali lagi telah mencetuskan kemarahan rakyat Mesir apatah lagi dia berazam untuk menyaman mana-mana media massa yang terus menerus membuat dakwaan tentang dirinya.

Bagi Mubarak sendiri, situasi yang sedang dihadapinya sekarang adalah sesuatu yang bukan sahaja sukar tetapi terlalu asing.

Manakan tidak. Sehinggalah gerakan anti-Mubarak yang mula tercetus pada 25 Januari lalu, Mubarak boleh dikatakan tidak pernah diganggu-gugat selaku presiden kepada sebuah negara yang memiliki jumlah penduduk paling padat dalam dunia Arab - iaitu 80 juta orang.

Malah pemerintahannya disokong oleh Amerika Syarikat dan juga angkatan tentera negaranya sendiri yang mana Mubarak dianggap sebagai hero kerana pernah berjuang dalam perang menentang Israel di tahun 1970-an.

Kini berusia 83 tahun, Mubarak sendiri terselamat daripada 10 percubaan membunuhnya.

Kemunculannya di puncak kuasa sebenarnya berlaku secara mendadak apabila mentornya Anwar Sadat - yang mencatat sejarah dunia Arab apabila menandatangani perjanjian damai dengan Israel - ditembak mati dalam satu perarakan ketenteraan pada 6 Oktober 1981.

Ketika kejadian itu, Mubarak menyandang jawatan naib presiden.

Dan seminggu selepas tragedi itu, Mubarak telah mengambilalih tampuk pemerintahan negara dan memerintah tanpa putus dan gangguan sehingga Februari tahun ini apabila beliau diguling.

Kumpulan fundamentalis Islam seperti - Al-Jihad, Gamaa Islamiyya dan Talaeh al-Fatah - bertanggungjawab kepada hampir kesemua percubaan membunuhnya.

Percubaan pertama secara langsung pada 1993, setahun selepas puak radikal melancarkan kempen menjatuhkan apa yang mereka panggil regim sekular yang memerintah Mesir.

Antara kaedah yang digunakan ialah plot untuk meletupkan kenderaan presiden. Pada tahun 1995, ketika Mubarak sedang melakukan lawatan rasmi ke Addis Ababa, rombongan kenderaannya telah diserang dan ditembak oleh kumpukan militan tetapi dia terselamat.

Sebelum itu, satu lagi percubaan untuk membunuhnya telah dilakukan ke atas Mubarak ketika dia bertemu dengan Muaamar Gadafi di sebuah lapangan terbang tentera.

Kemudian pada bulan September 1999, Mubarak sekali lagi terselamat apabila seorang lelaki cuba membunuhnya dengan menikamnya dari belakang ketika beliau sedang melawat Pelabuhan Said.

Kesihatan Mubarak terjejas pada tahun 2003 apabila beliau pengsan ketika sedang menyampaikan ucapan dalam sidang Parlimen.

Sebelum itu beliau diketahui bermain skuash hampir setiap hari.

Setahun selepas kejadian di parlimen itu, Mubarak telah melakukan pembedahan membetulkan tulang belakang di Jerman dan sekali lagi menjalani rawatan di Jerman pada 2010 untuk membuang hempedunya.

Sepanjang pemerintahannya, tiada ada siapapun yang berani memperkatakan tentang kesihatannya termasuklah kehidupan peribadinya. Tidak ramai yang tahu mengenai aktiviti isterinya Suzanne yang berdarah separuh Welsh.

Mubarak dilahirkan pada 4 Mei 1928 di sebuah kampung bernama Menufiyah di Lembah Nil.

Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan tentera udara dan terbabit dalam dua perang besar menentang Israel sehingga memperolehi status hero.

Bagaimanapun, Mubarak akhirnya menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar Sadat dalam usaha untuk mencapai perdamaian dengan Israel pada tahun 1979.

Itu juga menjadi punca pembunuhan Anwar Sadat dan percubaan membunuh ke atasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain