suria

Norway Bersiap Sedia Mengebumikan Mangsa Pembunuhan Yang Pertama

OSLO: Norway bersiap sedia untuk mengebumikan mangsa pertama daripada 76 yang dibunuh oleh seorang lelaki ekstremis berhaluan kanan genap seminggu selepas kejadian yang mengempar dunia itu.

Mangsa itu adalah seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari keturunan Kurdis, bernama Bano Rashid. Dia dibunuh bersama berpuluh yang lain di Pulau Utoeya ketika sedang menjalani program perkhemahan anjuran Sayap Remaja Parti Buruh yang memerintah Norway.

Menteri Luar Norway, Jonas Gahr Stoere, dijangka mewakili kerajaan pusat ke majlis pengebumian Bano Rashid, di sebuah bandar bernama Nesodden.

Bendera separuh tiang masih dikibarkan di seluruh Norway yang memiliki penduduk tidak lebih dari lima juta orang sahaja.

Dalam kejadian pada 22 Julai lalu, Anders Behring Breivik, 32, yang tanpa berselindung menyatakan rasa bencinya ke atas penganut agama Islam telah melancarkan dua serangan hampir serentak - satu dengan meletupkan bom jangka di hadapan Jabatan Perdana Menteri di Oslo dan kemudian menuju ke Pulau Utoeya tidak jauh dari situ di mana beratus remaja sedang menjalani program perkhemahan lalu melepaskan tembakan tanpa henti ke arah mereka.

Keseluruhannya 76 orang disahkan terbunuh dalam kejadian yang mengemparkan dunia itu.

Bano Rashid merupakan anggota sayap remaja Parti Buruh sebelum ini dilaporkan pernah menulis menyatakan rasa bencinya ke atas diskriminasi kaum dan sikap perkauman.

Kakaknya yang turut berada di pulau itu tetapi terselamat daripada tembakan Anders Behring Breivik berkata, jawapan kepada tragedi ini adalah untuk terus menunjukkan rasa sayang dan bukannya kebencian.

Seorang lagi mangsa tembakan Behring Breivik ialah remaja berusia 19 tahun bernama Ismail Haji Ahmed. Dia akan disemadikan di bandar Hamar.

Dalam pada itu, seorang lelaki Inggeris yang dianggap ‘mentor’ oleh Behring Breivik pada Jumaat menyifatkan perlakuan lelaki Norway itu sebagai satu tindakan yang bersifat syaitan.

Paul Ray, 35, yang mengendalikan sebuah laman blog yang diberi nama "Richard the Lionhearted" iaitu Raja England yang mengetuai perang salib menentang pejuang-pejuang Islam di Palestin berkata; "Saya sama sekali tidak tergamak untuk melakukan apa yang telah Behring Breivik lakukan untuk memperjuangkan kepercayaan saya."

Dan bapa Behring Breivik, Jens Breivik yang kini berusia 76 tahun dan tinggal di Selatan Perancis menyifatkan anaknya itu sebagai seorang pengganas.

Sementara itu seorang mangsa yang terselamat bernama Emma Martinovic, 18, telah dipetik menulis di dalam ruangan blognya: "Saya mendengar anak haram itu (Behring Breivik) sedang ketawa dan menjerit 'kamu tidak akan terlepas...' sambil melepaskan tembakan.”

Anders Behring Breivik, pada Jumaat telah dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Norway di sini dari Penjara Ila di mana dia ditahan bagi membolehkan polis meneruskan siasatan ke atasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain