suria

Kumpulan Abu Sayyaf Bunuh 7 Anggota Marin Filipina

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino berikrar pada Jumaat bahawa beliau akan memastikan kumpulan pemisah yang telah membunuh tujuh anggota marin termasuk memenggal kepala dua daripadanya ditangkap dan dibicarakan.

Kumpulan Abu Sayyaf yang dikenalpasti sebagai bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu telah mencederakan 27 askar lagi dalam pertempuran di Pulau Jolo pada Khamis.

"Bagi pihak kerajaan saya mengecam tindakan kejam itu yang bertujuan untuk menggenakan tekanan ke atas proses perdamaian di wilayah selatan. Ketahuilah mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini kini berada paling atas dalam radar saya," ujar Aquino.

Menurut Leftenan Kolonel Randolf Cabangbang, sekurang-kurangnya 30 anggota militan terlibat dalam pembunuhan itu.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan militan kecil yang beroperasi di sekitar Kepulauan Jolo dan kerap kali melancarkan serangan ke atas tentera kerajaan.

Mereka dikatakan terlibat dalam penculikan dan pembunuhan pelancong Amerika pada tahun 2001 termasuklah dikatakan bertanggungjawab ke atas letupan sebuah feri di Teluk Manila pada tahun 2004 yang telah mengorbankan 100 orang penumpang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain