suria

Penyertaan Brazil Dalam TAC Pertingkat Profil Global Perjanjian Berkenaan, Kata Anifah

NUSA DUA, Bali: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata Menteri-menteri Luar Asean menyambut baik minat Brazil untuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Penyertaan Brazil, yang muncul sebagai sebuah kuasa global, akan mempertingkat profil global TAC sebagai perjanjian keselamatan yang unggul di rantau ini.

"Di samping itu, ia akan juga membantu memupuk kerjasama lebih rapat antara Brazil dengan negara-negara rantau ini," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Anifah berkata Menteri-menteri luar itu bagaimanapun berpendapat masanya belum sesuai untuk mempertimbang hasrat Serbia menyertai TAC, bila mengambil kira Garis Panduan bagi Penyertaan dalam TAC.

"Malaysia melahirkan pendapat bahawa penyertaan Serbia itu tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penyertaan dalam TAC, yang diluluskan oleh para Menteri Luar Asean pada April 2010," kata beliau.

Menyentuh hal lain, Anifah berkata "Malaysia menyambut baik usaha Canada untuk menyertai Protokol Ketiga Meminda TAC".

Menteri-menteri itu juga, kata beliau, mengalu-alukan kelulusan 'Asean Security Outlook Standardized Format' (Format Standard Pandangan Keselamatan Asean), yang dibentangkan oleh pegawai-pegwai kanan.

Menteri-menteri itu membincangkan perkara itu semasa sesi pleno dan sesi permukiman Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) di sini pada Selasa, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa.

Tentang mesyuarat Asean+3 pada Khamis, Anifah berkata menteri-menteri luar dari negara-negara anggota mengiktiraf aktiviti kerjasama ekonomi yang pesat berkembang di kalangan negara-negara terbabit, termasuk usaha untuk membebaskan perdagangan di kalangan negara anggota menerusi kajian mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif bagi Asia Timur (CEPEA).

Mesyuarat itu, kata beliau, menghargai inisiatif Asia Selatan untuk menggerakkan semula Forum Asia Timur (EAF) dan berharap kertas konsep mengenai EAF dapat diluluskan di Mesyuarat kesembilan EAF di Cheng Du, China, pada September depan.

Mesyuarat Asean+3 adalah antara menteri-menteri Luar Asean dengan China, Jepun dan Korea Utara. Ia juga dipengerusikan oleh Marty. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain