suria

Jepun Mahu Bekerjasama Dengan Malaysia Bantu Dunia Ketiga

KUALA LUMPUR: Jepun berminat untuk meningkatkan kerjasamanya dengan Malaysia, terutama menerusi penglibatan Malaysia dalam membantu negara dunia ketiga.

Duta Jepun ke Malaysia yang baru Shigeru Nakamura berkata antara program terbabit ialah pendidikan dan pembangunan, selain misi pengaman.

"Malaysia sekarang aktif di arena antarabangsa. Mungkin pada masa depan Jepun boleh bekerjasama dengan Malaysia seperti dalam operasi menjaga keamanan di negara yang dilanda peperangan," katanya kepada pemberita di kediamannya, di sini Rabu.

Beliau dilantik sebagai wakil Jepun ke Malaysia pada Mei lepas, menggantikan Masahiko Horie.

Shigeru, 63, berkata beliau juga berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk turut terlibat dalam bantuan kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata rakyat Jepun kagum dengan semangat masyarakat Malaysia dalam memperjuangkan hak penduduk Palestin.

Selain itu, Shigeru berkata beliau juga bercadang meningkatkan hubungan dengan kerajaan negeri di negara ini serta hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

"Saya harap dapat melihat lebih banyak lagi pertukaran masyarakat berlaku antara Jepun dan Malaysia. Bukan setakat melalui pelancongan tetapi juga dalam pendidikan," katanya.

Pada pertemuan dengan warga media itu beliau turut menyentuh mengenai larangan import makanan dari Jepun oleh pihak berkuasa Malaysia berikutan kebimbangan pencemaran radioaktif.

Katanya beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pihak berkuasa Malaysia mendapat maklumat terkini berkenaan pengeluaran makanan di Jepun.

Pada 1 Julai lepas, Kementerian Kesihatan menarik balik larangan import makanan dari tiga wilayah iaitu Tokyo, Niigata dan Yamagata.

Bagaimanapun makanan dari lapan lagi iaitu Fukushima, Gunma, Ibaraki, Tochigi, Miyagi, Kanagawa, Saitama dan Chiba bergantung kepada keputusan Ujian Tahap 5 (simpan, uji dan keluarkan) apabila produk itu tiba di Malaysia.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kerajaan Jepun terhadap bantuan yang dihulur rakyat Malaysia ketika negaranya dilanda bencana berganda pada Mac lepas.

Shigeru berkata proses pembangunan semula di kawasan terjejas berjalan lancar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain