suria

Masalah Besar: Ramai Percaya Pengunduran Tentera Nato Dari Afghanistan Hanya Satu Konspirasi

KABUL: Ketika pasukan tentera NATO mengundurkan diri secara berperingkat dari bumi Afghanistan, ramai yang percaya, langkah tersebut hanyalah satu konspirasi untuk menutup rancangan yang lebih besar kuasa-kuasa besar dunia.

Sejak hari pertama tentera Amerika menjejakkan kaki mereka di Afghanistan pada tahun 2001 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Taliban, tidak pernah berita mengenai pasukan tentera Amerika mendapat liputan meluas media-media dunia termasuk media tempatan sendiri sebagaimana yang disaksikan ke atas pengunduran 650 orang anggota yang dibawa keluar dari Afghanistan minggu lalu.

Bagaimanapun boleh dikatakan tidak ada seorang pun rakyat Afghan yang mempercayai laporan tersebut sebagai sesuatu yang benar.

Mereka melihat proses pengunduran tentera NATO sehingga penghujung 2014 sebagai langkah menutup perancangan sebenar yang lebih besar dan hebat.

"Amerika tidak akan meninggalkan Afghanistan begitu sahaja kerana mereka telah melaburkan wang yang begitu besar untuk memastikan Taliban tidak kembali," kata Mohammad Ali,36, seorang pekedai di Mazar-i-Sharif, yang merupakan salah satu daripada tujuh kawasan yang dahulunya dikawal oleh tentera NATO tetapi sekarang di bawah kawalan tentera Afghanistan sepenuhnya.

"Mereka mengundurkan beberapa ribu tentera sebagai langkah ke arah rancangan yang lebih besar...logik akal mengatakan sebuah negara yang telah melaburkan wang yang begitu besar ke atas sebuah negara lain tidak akan dengan mudah meninggalkan negara itu begitu sahaja," kata Mohammad lagi.

NATO telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa semua anggota kombat pelbagai negara akan meninggalkan Afghanistan sepenuhnya menjelang tahun 2015 dan menyerahkan kuasa mengawal keselamatan negara itu kepada pasukan tentera Afghanistan. Proses itu telahpun bermula minggu lalu.

Serentak dengan pengunduran itu, Presiden Hamid Karzai menyeru semua puak termasuk puak Taliban agar berdamai dan mencari jalan penyelesaian politik demi masa depan negara itu.

Ahad lalu, pasukan pengaman New Zealand turut menyerahkan watikah kuasa kepada pasukan tempatan di wilayah Bamiyan, yang buat masa ini merupakan wilayah yang paling aman dan selamat di seluruh Afghanistan.

Pada Selasa, satu majlis yang hampir serupa akan berlangsung di bandar Mehtar Lam.

Para pakar ekonomi dan geologi menyifatkan Afghan memiliki kekayaan hasil bumi bernilai AS$ 1 trilion, yang masih belum diterokai.

Presiden Barack Obama telah pun mengumumkan bahawa 33,000 anggota tentera Amerika akan meninggalkan Afghanistan menjelang penghujung 2012.

Artikel Lain