suria

Korea Selatan Tangani Kegiatan Penulis Blog Perdaya Pengguna

SEOUL: Suruhanjaya Perdagangan Saksama Korea Selatan (FTC) bertindak campur tangan dalam mengatasi isu penulis-penulis blog yang mendapat habuan dengan membuat ulasan tidak jujur tentang sesuatu produk, demikian menurut sumber rasmi, Khamis.

Badan itu pada minggu ini meminda peraturan supaya syarikat dan penulis blog memberitahu sama ada bayaran atau sebarang pemberian hadiah dibuat dalam memberi ulasan yang baik tentang sesuatu produk.

Jika gagal berbuat demikian, penulis blog dan syarikat produk yang diberi ulasan akan dikenakan tindakan.

Peraturan itu juga dikenakan terhadap ulasan produk di laman sosial Twitter dan Facebook.

"Langkah ini diambil untuk mengatasi masalah di mana penulis blog memperdaya pengguna dengan menyembunyikan perjanjian mereka dengan syarikat dalam memberi ulasan yang bagus namun tidak jujur untuk mendapatkan jualan," beritahu pengarah badan itu kepada pemberita.

Penulis blog yang kononya berpengaruh di Korea Selatan dikatakan memberi promosi kepada sesetengah produk untuk mendapatkan komisyen atau hadiah percuma untuk diri mereka sendiri.

Dalam satu kes yang mencetuskan kemarahan orang awam baru-baru ini, seorang penulis blog yang juga seorang suri rumah dilaporkan mendapat komisyen ratusan ringgit dengan membuat ulasan baik dalam usaha membantu sebuah syarikat menjual produk perkakasan dapur yang mempunyai amaran agensi piawaian kerajaan.

"Pengguna internet berasa tertipu dengan penulis blog yang memperdaya mereka untuk mendapatakan wang dengan bersekongkol dengan syarikat menjual barang," komen seorang pengulas dalam akhbar Kookmin Ilbo.

Sesetengah penulis blog dan syarikat pengiklanan bagaimanapun meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap usaha badan itu, demikian menurut akhbar JoongAng Daily.

"Persoalannya, bagaimanakah badan itu akan menyekat ribuan blog yang ada di alam siber?" kata seorang penulis blog Kim Seon-Jin.

"Terlalu banyak blog yang harus diawasi FTC dengan banyak blog baru yang dihasilkan setiap hari," katanya. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain