suria

Israel Bom Tiga Kawasan Palestin Dalam Serangan Balas

GAZA: Jet tempur Israel mengebom tiga kawasan di sini selepas beberapa roket dilepaskan dari persisiran pantai Gaza, demikian menurut pihak berkuasa Palestin dan tentera rejim Zionis, Khamis.

Kejadian merupakan serangan udara yang kedua dilakukan Israel dalam beberapa hari dengan jumlah roket yang dilepaskan dari Gaza semakin bertambah secara tiba-tiba selepas beberapa bulan tiada serangan yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

Tentera rejim berkata pesawat pejuangnya mensasarkan tiga terowong, dua digunakan untuk aktiviti penyeludupan di selatan Gaza dan satu digunakan untuk "aktiviti pengganas" di utara wilayah milik Palestin.

Sumber rasmi anggota kesihatan Palestin berkata lima orang awam mengalami kecederaan dan dua orang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Beberapa ketika selepas serangan udara itu dibuat Israel, satu lagi serangan roket dilepaskan dari Gaza ke selatan Israel namun tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan, kata tentera Israel.

Menurut tentera Israel lagi, serangan roket itu merupakan serangan serupa yang kesebelas dilepaskan dari Gaza ke Israel sejak awal Julai. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain