suria

Tiga Ribu Siswazah Universiti Gaza Ikrar Berkhidmat Untuk Negara

GAZA STRIP: pelajar yang menamatkan pengajian di Universiti Islam Gaza baru-baru ini berikrar akan mencurahkan bakti kepada negara tumpah darah mereka walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kesulitan akibat sekatan yang dikenakan di Semenanjung Gaza.

Yazen Al-Mahhon berkata dia bercadang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan sejarah kerana yakin rakyat Palestin memerlukan warga yang terpelajar untuk membangunkan negara.

Siswazah ini juga bertekad meningkatkan kesedaran orang ramai tentang sejarah Palestin.

"Kita perlu pulihara sejarah kita dan menentang percubaan Israel untuk mengubah sejarah sebenar Palestin," kata Yazen selepas majlis konvokesyen bertemakan 'Pembangunan dan Perpaduan' yang memberi penekanan tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan penduduk Palestin. Sementara itu, Mohammed Abu Ayesh, yang mengalamai kecederaan akibat serangan ganas Israel di Gaza pada 2008-2009, akhirnya berjaya memperoleh ijazah dalam bidang kejururawatan.

Walaupun tangannya tercedera dalam serangan itu, tetapi berkat ketekunan dan keazaman yang kuat untuk berjaya dalam pelajaran, dia akhirnya mencapai apa yang dicita-citakan.

"Israel mahu menyekat kami; malah pesawat perang mereka memusnahkan makmal universiti kami, tapi kami tetap meneruskan pengajian," katanya.

Mohammed berkata Gaza amat kekurangan doktor dan profesional dalam bidang perubatan untuk membantu mereka yang menjadi mangsa serangan Israel.

Seorang lagi siswazah, Mahmoud Al-Sarraj, menceritakan tentang cabaran serta kesulitan yang terpaksa dilaluinya ketika menuntut di universiti itu.

Pemuda ini berkata ada kalanya dia terpaksa berjalan untuk menghadiri kuliah kerana kenderaan tidak boleh digunakan akibat ketiadaan bekalan bahan bakar dan pada waktu malam pula, dia hanya bergantung pada cahaya lilin untuk menelaah pelajaran apabila bekalan elektrik sering terputus.

"Saya hadiahkan kejayaan saya ini kepada seluruh rakyat Palestin. Saya menganggapnya sebagai suatu kejayaan kerana antara tujuan pendudukan Israel adalah untuk menjadikan kami manusia yang tidak berpelajaran," katanya.

Ketua pentadbiran Hamas di Semenanjung Gaza Ismail Hanyieh yang menghadiri majlis konvokesyen itu berkata beliau amat mengagumi ketekunan dan kesabaran pelajar terbabit dalam menimba ilmu pengetahuan. -BERNAMA

Artikel Lain