suria

Polis Sydney Dapat Kuasa Buka Purdah

MELBOURNE: Wanita boleh diarah membuka purdah di sekatan jalan biasa di bawah kuasa yang diberikan kepada polis New South Wales (NSW).

Perdana Menteri negeri itu Barry O'Farrell berkata kabinet telah meluluskan langkah itu pada Isnin bagi membolehkan polis mengenalpasti pemandu atau mana-mana orang lain yang disyaki terlibat dalam jenayah.

"Tak kira sama ada seseorang itu memakai topi keledar, burqa, niqab, purdah atau apa jua, polis mesti dibenarkan untuk meminta orang berkenaan menunjukkan rupa diri dengan jelas," kata beliau menyebut laporan Australian Associated Press.

Minggu lepas, Pesuruhjaya Polis NSW Andrew Scipione berkata polis memerlukan lebih kuasa untuk membolehkan mereka mengenalpasti wanita yang memakai tudung muka penuh.

Ini berikutan kes seorang wanita Sydney Carnita Matthews, yang pada November 2010 dikenakan hukuman penjara enam bulan kerana secara palsu mendakwa seorang pegawai polis cuba secara paksa membuka burqanya.

Bagaimanapun, hukuman itu dibatalkan atas rayuan minggu lepas setelah hakim Mahkamah Daerah NSW Clive Jeffreys memutuskan bahawa tidak terdapat bukti untuk mengesahkan bahawa Matthews memfail aduan jenayah terhadap pegawai itu, kerana wanita yang berbuat demikian juga memakai purdah dan tidak dapat dikenalpasti secara positif. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain