suria

Pengharaman Eksport Lembu Ke Indonesia Cetus Kegelisahan Penternak Australia

SYDNEY: Tindakan Kerajaan Australia mengharamkan pengeksportan lembu ke Indonesia telah mencetuskan kegelisahan di kalangan penternak sehingga ke tahap ada laporan yang mengatakan ia boleh menjejas mental mereka.

Ini berikutan tindakan seorang penternak yang dikatakan membuat keputusan untuk menembak 3,000 ekor lembunya kerana tidak mampu lagi untuk terus menternak lembu-lembu yang tidak terjual itu.

Nico Botha, dari stesen Moola Bulla di negeri Australia Barat dalam satu temuramah dengan stesen televisyen ABC berkata, dia akan mula menembak mati lembu-lembu peliharaannya seawal Rabu.

Botha berkata, dia mengetahui beberapa lagi penternak akan melakukan tindakan yang sama.

Kerajaan Australia telah mengharamkan penghantaran lembu hidup ke Indonesia selepas sebuah laporan media menunjukkan bagaimana cara lembu disembelih di rumah-rumah sembelihan di Indonesia.

Kedua-dua buah negara masih belum menemui jalan keluar kepada permasalahan itu.

Menteri Pertanian, Joe Ludwig berkata, beliau sendiri masih belum dapat memberi jaminan bilakah tindakan pengharaman itu akan ditarik balik.

Pengharaman eksport lembu hidup ke Indonesia berkuatkuasa sehingga November depan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Penternak Lembu Wilayah Utara Australia, Luke Bowen berkata, lagi lama keputusan tidak dapat dibuat berhubung pengharaman ini, lagi lama kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh penternak.

"Kini yang menjadi kebimbangan kami ialah kedudukan mental para penternak di bawah naungan kami...sejauh mana mereka dapat menerima tekanan ini," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain