suria

Lembaga Pengarah IMF Sebulat Suara Lantik Christine Lagarde Sebagai Pengarah Urusan

WASHINGTON: Lembaga Pengarah Tabung Matawang Dunia (IMF) sebulat suara menawarkan jawatan pengarah urusan kepada Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde, lewat Selasa.

Pelantikan Lagarde dibuat beberapa jam selepas Kerajaan Amerika memberi sokongan terbuka kepadanya untuk menerajui IMF.

Lagarde juga akan menyandang jawatan pengerusi kepada lembaga eksekutif IMF.

Beliau akan mencatat sejarah sebagai peneraju wanita pertama IMF sejak institusi itu diwujudkan pada tahun 1944.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam reaksi segeranya menyifatkan pelantikan Lagarde sebagai hari yang bersejarah untuk negara mereka.

Kesemua 24 anggota lembaga pengarah IMF secara sebulat suara memilih Lagarde tetapi pada masa yang sama memberi penghormatan kepada saingan terdekatnya iaitu Agustin Carstens dari bank pusat Mexico.

Lagarde akan memulakan tugas barunya itu pada 5 Julai depan dan akan menandatangani kontrak perkhidmatan selama lima tahun.

Jawatan pengarah urusan IMF kosong apabila penyandangnya, Dominique Strauss-Kahn yang juga seorang berbangsa Perancis meletak jawatan pada 18 Mei lalu setelah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba mencabul kehormatan seorang kakitangan hotel di New York.

Sebelum dakwaan itu dibuat ke atasnya, Strauss-Khan disebut-sebut bakal mencabar jawatan presiden Perancis dalam pilihan raya akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain