suria

Menteri-Menteri Luar OIC Bermesyuarat Di Kazakhstan Esok

ASTANA (KAZAKHSTAN): Mesyuarat tiga hari Menteri-menteri Luar bagi 57 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bermula esok di Astana, ibu negara Kazakhstan.

Menurut satu kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Kazakhstan yang dikeluarkan dalam satu laman web, perkembangan kerjasama antara Kazakhstan dan OIC sejak 15 tahun lalu saling memberi manfaat dan hubungan itu akan terus dipertingkatkan semasa Kazakhstan menjadi pengerusi OIC antara Jun 2011 dan Jun 2012.

"Keanggotaan dalam badan itu telah menghasilkan peluang bagi Kazakhstan untuk menyertai proses politik dan ekonomi dunia Islam dan ia telah membantu menarik pelaburan asing ke Kazakhstan," kata kenyataan itu.

Bagi Kazakhstan, kerjasama dengan institusi kewangan OIC adalah penting terutama dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang merupakan pelabur terbesar dalam dunia Islam.

Jumlah portfolio pelaburan IDB di Kazakhstan meliputi sekitar US$700 juta.

Sebagai tambahan kepada sokongan kewangan, institusi IDB telah meningkatkan perkongsian pengetahuan mengenai perbankan Islam dengan Kazakhstan.

Kazakhstan telah meningkatkan hubungan dengan institusi khusus, anak syarikat dan anggota gabungan OIC.

Bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam bidang pembangunan sosio dan ekonomi, Kazakhstan telah dipilih sebulat suara sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa tetap OIC mengenai ekonomi dan kerjasama komersial (COMCEC) pada October 2010.

COMCEC bertanggungjawab dalam menggalakkan kerjasama dagangan dan ekonomi di kalangan negara anggota pertubuhan itu.

Ia akan menyelia projek berskala besar yang dibangunkan bagi memperkenalkan sistem dagangan utama di dalam kawasan OIC.

"Kazakhstan berasa bangga bahawa Almaty secara rasmi dipilih sebagai "Pusat Kebudayaan Islam di Asia" bagi 2015 oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Islam (IESCO)," kata kenyataan itu.

Kazakhstan, yang terletak di Asia Tengah merupakan negara kesembilan terbesar di dunia dengan jumlah penduduk 16.4 juta meliputi kawasan 2,727,300 kilometer persegi. -BERNAMA

Artikel Lain