suria

Hospital Jalankan Pembedahan Jantina Kanak-Kanak Disiasat

NEW DELHI: Pihak berkuasa di India menjalankan siasatan terhadap doktor dan hospital yang terbabit dalam pembedahan menukar jantina kanak-kanak perempuan di Madhya Pradesh.

Suruhanjaya Kebangsaan bagi Perlindungan Hak Kanak-kanak (NCPCR) mengarahkan pegawai negeri supaya menyiasat kes genitoplasty (pembedahan alat kelamin) di Indore, sebuah bandar raya komersial, selepas media mendedahkan mengenai ibu bapa yang inginkan anak lelaki, mengambil jalan keluar dengan beralih kepada pembedaham haram itu.

"Lembaga perubatan perlu ada untuk menentukan sekiranya pembedahan diperlukan daripada segi perubatan.

"Ia mesti merupakan keputusan penuh tanggungjawab yang dibuat oleh sebuah panel dan bukannya satu keputusan antara ibu bapa dan doktor," kata Prof Gautam Sen, seorang anggota lembaga pengarah Majlis Perubatan India, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Hindustan Times.

Genitoplasty adalah pembedahan pembetulan yang dilakukan ke atas golongan yang dilahirkan dengan kecacatan genital, tetapi di Indore pembedahan itu telah dieksploitasikan.

Menurut akhbar berkenaan, kanak-kanak perempuan berumur antara satu dan lima tahun telah menjalani pembedahan genitoplasty dan kira-kira 200 hingga 300 kes itu dilakukan di Indore.

Setiap pembedahan membabitkan kos kira-kira RM10,000.

Bimbang dengan insiden itu, NCPCR menggesa pihak berkuasa negeri supaya mengumpul data mengenai pengamal perubatan dan hospital yang terbabit dalam genitoplasty. -BERNAMA

Artikel Lain